Minggu lalu Paulo Dybala menyatakan dia tidak mahu dikenali sebagai Lionel Messi yang baru. Malam tadi, penyerang kelahiran Argentina itu membuktikan dirinya memang setanding rakan senegaranya.
Dia menyumbat dua gol buat Juventus untuk membantu menumpaskan Barcelona 3-0, pada suku akhir pertama Liga Juara-Juara. Malah, penyokong berdiri dan memberikan tepukan gemuruh terhadap Dybala apabila dia dikeluarkan sembilan minit sebelum tamat perlawanan.
Dybala memperoleh jaringan pada minit ketujuh dan minit ke-22. Giorgio Chiellini kemudian menambah jaringan ketiga, kira-kira 10 minit selepas babak kedua bermula. “Saya gembira kerana sejak kecil saya ingin merasakan perasaan sehebat ini. Boleh saya rumuskan ini adalah permainan terbaik saya,” kata pemain berusai 23 tahun itu.
Keputusan itu memberikan Juventus keyakinan untuk beraksi pada suku akhir kedua, 19 April. Tapi, mereka perlu juga resah kerana Messi mungkin cemerlang seperti yang dilakukan pemain Barcelona itu ketika pasukan itu menumpaskan Paris Saint-Germain 6-1.
Pertemuan itu menukar keputusan yang awalnya bagaikan milik PSG selepas menang 4-0, pada saingan pertama.
0 comments:
Post a Comment