Filem terbaru dari Korea Selatan, Fabricated City yang menampilkan bintang terkenal Ji Chang Wook mengetengahkan jalan cerita berbeza daripada filem lain yang ditayangkan di pawagam. Ini juga karya pertama pengarah Park Kwang Hyun selepas menghasilkan filem perang Welcome to Dongmakgol, 12 tahun lalu.
Turut menampilkan barisan pelakon Shim Eun Kyung, Ahn Jae Hong, Oh Jeong Se dan Kim Sang Ho, filem ini mengisahkan pembunuh bersiri yang dilengkapi teknologi canggih melakukan siri jenayah tanpa dikesan pihak berkuasa.
Dalam kisah ini, pemain permainan video tegar, Kwon Yu lakonan Chang Wook dalam alam maya adalah ketua unit kombat Resurrection dan terkenal dengan sikapnya yang sentiasa menyelamatkan rakan sepasukan. Namun dalam realiti, dia penganggur dan sukar mencari pekerjaan selepas disingkirkan daripada pasukan tae kwon do kebangsaan.
Kehidupannya mula berubah menjadi mimpi ngeri selepas dituduh membunuh dan merogol seorang remaja perempuan. Semuanya berlaku dengan pantas sejurus Kwon Yu memulangkan telefon bimbit kepada wanita misteri selepas dijanjikan sejumlah wang sebagai ganjaran.
Walaupun berusaha meyakinkan pihak berkuasa pembunuhan itu bukan dilakukannya, Kwon Yu tetap dihukum penjara seumur hidup. Ketika di penjara, Kwon Yu terpaksa melalui pelbagai dugaan apabila dia sering menjadi mangsa serangan sekumpulan banduan diketuai lelaki bernama Ma.
Lebih memilukan, ibunya meninggal dunia akibat kesedihan melampau. Dengan bantuan seorang banduan, Kwon Yu berjaya melarikan diri dari penjara dan mula menjejaki pihak bertanggungjawab menjadikan dia sebagai kambing hitam pembunuhan itu.
Tuah menyebelahinya apabila rakan sepasukan Resurrection bersatu membantu mencari maklumat bagi membuktikan Kwon Yu tidak bersalah. Dibantu penggodam hebat bernama Mr Harry, pasukan terbabit berjaya merungkai beberapa maklumat mengejutkan yang membabitkan sebuah organisasi.
Dalam usaha membongkar kegiatan organisasi terbabit, Kwon Yu dan pasukannya diburu Ma dengan konconya yang dibebaskan dari penjara. Tidak menghairankan apabila Chang Wook memberitahu berlakon dalam filem aksi amat memenatkan kerana filem ini padat dengan pelbagai aksi lasak termasuk babak pelakon itu dibelasah teruk.
Ia juga bukan cerita romantis dan turut menyelitkan beberapa babak menyentuh hati. Paling menarik adalah babak berkejar antara pasukan Kwon Yu dengan musuhnya menggunakan kereta dalam bandar. Untuk menghasilkan babak mencabar itu, produksi menggunakan lapan lorong jalan raya dan mengambil tempoh hampir sebulan untuk menyelesaikan penggambaran.
Menurut Kwang Hyun, dia menggunakan konsep katun kanak-kanak Tom and Jerry sebagai inspirasi menghasilkan babak terbabit. “Konsep terbabit ialah pemburu dan diburu. Mangsa cuba mengelak musuh dengan cara bijak, sekali gus menghasilkan babak saspens dan berbahaya,” katanya.
Pengarah itu berkata, salah satu babak menarik adalah pertarungan pasukan Resurrection di alam maya yang menyaksikan penggunaan senjata api canggih seperti peluru berpandu dan dron bersenjata.
“Saya mahu tarik perhatian penonton pada awal permulaan filem yang kelihatan seperti peperangan namun sebenarnya adalah permainan video. “Sebenarnya, saya mahu menunjukkan perbezaan keadaan realiti dan alam maya,” katanya. Fabricated City bakal menemui penonton pada 20 April ini.
0 comments:
Post a Comment