My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday 21 April 2017

    Jom Tonton Wayang Percuma


    Sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Thailand dengan Malaysia, kerajaan negara gajah putih itu ‘belanja’ penggemar filem lima karya terbaiknya secara percuma menerusi Pesta Filem Thai 2017 di negara ini.

    Kali pertama menganjurkan acara sedemikian, pesta berkenaan memperkenalkan lima karya terbaik iaitu A Gift, One Day, Take Me Home, Mr Hurt dan The Crown. Acara itu yang bermula semalam hingga 26 April ini membolehkan penonton menyaksikan filem berkenaan di pawagam Golden Screen Cinema (GSC) Pavilion Kuala Lumpur, One Utama dan GSC Mid Valley.

    A Gift inspirasi daripada lagu ciptaan Raja Thailand

    Filem romantis A Gift mengetengahkan tiga kisah berbeza dan setiap satunya inspirasi daripada lagu ciptaan mendiang Raja Thailand Bhumibol Adulyadej iaitu Love at Sundown, Still on My Mind dan New Year Greeting.

    Pelakon A Gift, Note Panayanggool pada majlis pelancaran Pesta Filem Thai 2017, kelmarin berkata, dia berbesar hati diberi kepercayaan untuk berlakon dan menyanyi lagu Love at Sundown dalam filem itu. “Saya peminat tegar muzik ciptaan baginda sejak kecil. Kebanyakan lagu ciptaan baginda adalah jaz dan karyanya membawa maksud mendalam serta puitis.

    “Biarpun watak kecil, saya cukup gembira diberi peluang berlakon filem ini,” katanya. Bercerita lanjut mengenai A Gift, pelakon itu berkata, filem menggabungkan empat pengarah Chayanop Boonprakob, Jira Maligool, Nithiwat Tharatorn dan Kriangkrai Vachiratamporn memaparkan kisah bahagia serta mesej positif kepada penonton.

    “Acara ini memberi peluang kepada penggiat seni untuk menunjukkan hasil kerja menerusi lima filem berkenaan. Saya berharap penonton Malaysia seronok menyaksikan karya Pesta Filem Thai,” katanya.

    Kisah romantis One Day

    Filem One Day turut memaparkan kisah romantis pegawai teknologi maklumat bernama Denchai yang meminati rakan sekerja bernama Nui dalam diam. Kehidupan Denchai mula berubah selepas memohon hajat di sebuah lokasi ketika mengikuti rombongan pejabat melancong ke Hokkaido, Jepun.

    Denchai berpeluang memikat Nui apabila wanita itu terbabit dalam satu kemalangan yang menyebabkannya hilang ingatan.

    Take Me Home kisah seram menarik

    Bagi penggemar kisah seram pula, filem Take Me Home menceritakan Tan cuba mengumpul maklumat mengenai dirinya selepas hilang ingatan.

    Kembali ke rumah asalnya, Tan mendapati anggota keluarganya menyimpan rahsia yang membuatkan dia ketakutan. Filem ini dibintangi Mario Maurer, Wannarot Sonthichai, Nabhada Sukhakrit, Nopachai Chaiyanam dan Djuangjai Hirunsri.

    Mr Hurt sering bernasib baik

    Mr Hurt mengisahkan pemain tenis profesional Don Sri Chang lakonan Sunny Suwanmethanont yang menjadi idola ramai orang. Dia sering bernasib baik dalam perlawanan termasuk percintaan kerana kekasihnya adalah selebriti.

    Bagaimanapun, kekasih Don mengambil keputusan untuk menolak lamaran menjadi isterinya kerana terpikat dengan seorang penyanyi rock pula. Beberapa bulan kemudian, lelaki itu bertemu semula dengan rakan lama, Dew yang berjaya membuat dia melupakan cinta lama.

    Budaya Thai dalam The Crown

    Berbeza daripada empat filem di atas, The Crown mengetengahkah tarian dan budaya Thailand menerusi kisah penari handal manora yang hampir buta bernama Satta. Satta mahu menurunkan ilmu tarian manora kepada anak lelakinya, Sing namun pemuda itu lebih gemar bermain gitar dan enggan terbabit dalam seni warisan keluarganya.

    Karya itu diarahkan penyanyi terkenal Thailand, Ekkachai Srivichai dan kebanyakan lagunya mengenai kisah sedih dalam percintaan.

    Tebus tiket percuma

    Pembaca boleh memperoleh tiket percuma menyaksikan lima filem berkenaan dengan mencetak atau mengambil gambar mana-mana paparan berita mengenai Pesta Filem Thai 2017 sama ada di akhbar, perkongsian dalam talian dari laman Facebook @TFFMalaysia atau platfom digital GSC.

    Kemudian, tunjukkan cetakan atau gambar itu kepada kakitangan di kaunter tiket GSC Pavilion, GSC Mid Valley atau GSC One Utama. Maklumat lanjut Pesta Filem Thai 2017 boleh melayari www.gsc.com.my atau Facebook Thai Film Festival in Malaysia.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Jom Tonton Wayang Percuma Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top