Akhirnya, detik yang dinantikan tiba jua. Dia dan si dia akhirnya "mendirikan rumah tangga" secara rasmi pada 2008 hanya untuk membalas dendam lama. Kali ini dia dan si dia tidak keseorangan apabila gabungan mereka berdua turut disertai oleh si gagah yang sekian lama mengintai peluang untuk bersama-sama dengan mereka.
Maka pada tahun 2008, bermulalah episod cinta tiga segi antara dia, si dia dan si gagah. Gabungan cinta 3 segi ini diteruskan sehingga 2013 apabila mereka mengeratkan hubungan cinta tiga segi ini. Nampaknya, jalinan cinta mereka agak menjadi apabila mereka mampu melawan lawan yang sama-sama mereka musuhi sejak sekian lama.
Namun begitu, dia memang tidak boleh menerima sangat perangai si gagah yang menjengkelkan sehinggalah dia dan si gagah mengambil keputusan bercerai pada 2015. Melihat kepada penceraian ini, si dia menjadi agak sedikit panik. Si dia sedaya upaya memperkukuhkan jalinan cinta mereka sejak sekian lama sehinggalah dia akhirnya merasa penat dan bosan dengan tipu daya si dia.
Akhirnya, pada semalam, dia mengambil keputusan untuk memfailkan penceraiannya dengan si dia setelah lebih 16 tahun menyulam cinta sesama mereka. Langkah dia ini cukup memeranjatkan si dia kerana si dia telah melakukan apa yang termampu menyelamatkan cinta mereka. Namun nampaknya kali ini, dia benar-benar nekad mahu berpisah dengan si dia.
Inilah kronologi serba ringkas hikayat cinta tiga segi antara PAS, PKR dan DAP. Kisah ala-ala romeo ini sebenarnya sudah dijangka lebih awal apabila PAS telah meninggalkan Pakatan Rakyat pada 2015 dan telah memutuskan semua hubungan politik mereka dengan DAP. Semalam, tibalah pula masa PAS berpisah dengan PKR hasil daripada desakan akar umbi PAS sendiri.
Tiada lagi istilah tahaluf siyasi antara PAS dan PKR. Tiada lagi ruang perbincangan antara PAS dan PKR. Semua hubungan akrab antara PAS dan PKR dahulu sudah tinggal kenangan. Persoalannya, mampukah PKR menerima berita sedih ini? Bagaimana pula nasib 3 orang Exco PAS dalam kerajaan Selangor? Adakah Azmin akan memecat mereka? Ikutilah sambungan drama ini tidak lama lagi!
0 comments:
Post a Comment