My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday, 10 April 2017

    "Super" Dan Akhirnya Tamatkan Badi



    DUA pemain badminton terbilang di dunia, Datuk Lee Chong Wei dan Lin Dan dari China melakar dua penyudah berbeza pada kejohanan badminton Siri Super Premier Terbuka Malaysia 2017 yang menutup tirainya di Stadium Perpaduan Kuching, Sarawak semalam. 

    Chong Wei, 34, gagal dengan misinya untuk menjulang gelaran ke-12 pada kejohanan berprestij itu manakala Lin Dan, 33, berjaya memecah kebuntuan untuk bergelar juara.

    Pada tiga final sebelum ini iaitu pada tahun 2005, 2006 dan 2015, Lin Dan gagal dengan misinya untuk bergelar juara, namun pada penampilan keempatnya tahun ini, impiannya berjaya direalisasikan selepas menewaskan Chong Wei pada perlawanan akhir semalam.

    Pada perlawanan tersebut, Lin Dan menang straight set 21-19, 21-14 dan ia merupakan kejuaraan sulungnya pada Terbuka Malaysia. Chong Wei telah bergelar juara Terbuka Malaysia sebanyak 11 kali iaitu pada tahun 2003, 2004, 2005, 2006, 2008, 2009, 2010, 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016. 

    Tahun ini, misi Chong Wei untuk merangkul kejuaraan ke-12 tidak kesampaian kerana disekat Lin Dan pada perlawanan akhir. Besar kemungkinan, ini mungkin penampilan terakhir buat dua jaguh dunia itu beraksi pada Terbuka Malaysia atas faktor usia.

    Pada aksi semalam, kedua-dua pemain tampil dalam kelas tersendiri namun Lin Dan memiliki ke–lebihan ke atas Chong Wei kerana jarang melakukan kesilapan mudah. Sejurus tamat perlawanan yang berlangsung selama 55 minit itu, pemain pilihan ketujuh kejohanan itu meluahkan rasa gembira apabila berjaya mengakhiri badi untuk merangkul kejuaraan pada Terbuka Malaysia.

    Bagaimanapun katanya, dia tetap menghormati Chong Wei kerana pemain kelahiran Pulau Pinang itu merupakan pemegang rekod terbanyak pada Terbuka Malaysia, iaitu sebanyak 11 kali.

    “Saya akui memang tidak sangka boleh menang untuk kali pertama pada kejohanan Terbuka Malaysia, lebih-lebih lagi terpaksa berdepan dengan juara bertahan tahun lalu (Chong Wei). Pada masa sama, saya begitu teruja kerana percubaan kali ini berjaya selepas gagal melakukannya 11 tahun lalu di gelanggang yang sama,” kata Lin Dan semalam.

    Bekas juara dunia lima kali itu menambah, pada awal perlawanan set pertama, dia agak tertekan dengan corak permainan pantas Chong Wei. Katanya, dia yang ke–tinggalan lima mata pada suatu ketika kemudian kembali fokus sehingga dapat menyaingi rentak permainan Chong Wei sebelum menamatkan set pertama 21-19 dalam masa 26 minit.

    “Bersambung aksi dalam set kedua, saya bertekad untuk tidak memberikan ruang dan peluang kepada Chong Wei untuk menyerang kerana saya tahu dia akan menampilkan aksi mantap bagi mengheret permainan sehingga set ketiga.

    “Tetapi, saya berjaya mengekang setiap pergerakan daripada Chong Wei, sekali gus memaksa dia melakukan banyak kesilapan mudah,” ujarnya lagi.

    Sementara itu, Chong Wei mengakui agak kecewa kerana gagal memenangi kejohanan tersebut di hadapan penonton tempatan. Namun katanya, beliau akan kembali lagi tahun depan bagi memastikan misi memburu kejuaraan buat kali-12 tercapai.

    “Saya akui setiap perlawanan pasti ada pemain yang menang dan kalah. Begitu juga dengan saya hari ini (semalam) apabila tumpas di tangan Lin Dan. Tahun depan saya pasti kembali untuk menambahkan koleksi kejuaraan Terbuka Malaysia,” katanya.

    Menerusi kemenangan itu, Lin Dan membawa pulang hadiah wang tunai AS$45,000 (RM199,638) manakala Chong Wei pula meraih AS$22,800 (RM101,149).

    Sementara itu, ratu perseorangan Taiwan, Tai Tzu Ying muncul juara apabila menewaskan Carolina Marin 23-25, 22-20, 21-13 pada final acara perseorangan wanita. Bagi beregu lelaki pula, pasangan dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo muncul juara selepas menewaskan pasangan China, Fu Haifeng-Zheng Siwei, 14-21, 21-14, 12-21 dalam perhitungan tiga set.

    Dalam acara beregu wanita pula, pasangan Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota menewaskan pasangan China, Huang Yaqiong-Tan Jinhua, 21-17, 18-21, 21-12. Manakala, acara beregu campuran dimenangi pasangan China, Zheng Siwei-Chen Qingchen apabila menundukkan rakan senegara, Lu Kai-Huang Yaqiong, 21-15, 21-18.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: "Super" Dan Akhirnya Tamatkan Badi Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top