Kehebatan filem seram Thailand memang tidak perlu dipersoal lagi. Walaupun ada yang kurang kuat dari segi jalan cerita, tetapi tahap seram filem mereka memang tidak mengecewakan. Ini termasuk filem arahan Kongkiat Khomsiri berjudul Take Me Home yang mula ditayangkan tahun lalu.
Sempena Festival Filem Thailand anjuran Golden Screen Cinemas (GSC) di Kuala Lumpur pada 20 hingga 26 April ini, Take Me Home bakal ditayangkan semula di panggung terpilih GSC. Bagi peminat setia filem seram Thailand, karya ini boleh dikatakan agak mendalam berbanding filem lain seperti Nang Nak.
Jika mahu memahami jalan ceritanya, penonton perlu lebih fokus. Cara olahannya agak mengelirukan, tetapi elemen kejutan dan teka-teki membangkitkan rasa ingin tahu penonton untuk terus mengikuti filem ini hingga tamat.
Walaupun menampilkan pelakon tampan, Mario Maurer sebagai teraju utama, kekuatan filem ini tetap terletak kepada elemen seram. Mengambil inspirasi daripada filem seram Hollywood yang jarang menampilkan watak hantunya, Take Me Home sebuah garapan yang sangat minimum.
Tidak perlu ramai pelakon dan pertukaran lokasi sudah cukup menghidupkan ceritanya. Permainan watak juga tidak serabut apabila kebanyakan masa cuma difokuskan kepada watak Tan (Mario). Keliru kerana hilang ingatan, Tan cuba mencantumkan semula ingatannya demi mencari semula keluarga dan pulang ke rumah.
Tan tidak berdepaan masalah besar kerana ada saja petunjuk di depan matanya. Ia sekali gus memudahkannya untuk menjumpai semula rumahnya. Namun, misteri terus menyelubunginya selepas pulang ke rumah dan bertemu dengan kakak kembarnya.
Di mata Tan, kakaknya, Tubtim (lakonan Wannarot Sonthicha) memiliki kehidupan yang sempurna dan gembira dapat bersatu kembali dengannya. Dia berasa sangat bertuah kerana dapat berkongsi kebahagiaan itu selepas hilang ingatan disebabkan kemalangan.
Apapun, dia tidak menyangka yang sebenarnya ada sebab takdir membawanya semula ke rumah itu. Ini kerana rumah itu menjadi saksi kepada segala kejadian tragis yang pernah mengisi hidup Tan sebelum dia hilang ingatan.
Sememangnya, misteri demi misteri yang dirungkai dalam cerita ini membawa fikiran penonton kepada pelbagai kesimpulan. Setiap kali penonton mula berfikir mengenai sesuatu kesimpulan, ia berubah apabila ada saja petanda baru yang muncul. Seperkara yang cukup menarik mengenai filem ini ialah teknik sinematografi yang digunakan.
Hanya mengambil tempat di hospital dan sebuah kawasan rumah agam, konsep minimal yang digunakan agak segar. Selain Take Me Home, beberapa filem yang turut ditayangkan sempena Festival Filem Thailand edisi pertama itu seperti Mr Hurt, A Gift, The Crown dan One Day.
0 comments:
Post a Comment