• PANAS

    Tuesday, 25 April 2017

    Mr T Bukan Dalang Utama



    Raja dadah Malaysia yang digelar Mr T mungkin bukan dalang utama sindiket dadah antarabangsa terbesar yang ditangkap polis Thailand beberapa hari lalu, menurut Biro Penindasan Narkotik (NSB), Thailand. 

    “Mr T yang ditahan di Lapangan Terbang Hatyai sejurus tiba dari Chiang Rai, Rabu lalu, mungkin orang kanan kepada dalang sebenar sindiket itu yang giat diburu pihak berkuasa Thailand berikutan penahanan leftenan kanannya, baru-baru ini.

    “Kami (pihak berkuasa Thailand) akan mendapatkan dalang sebenar,” kata Timbalan Ketua NSB Mejar Jen Supakit Srijantaranon kepada BERNAMA dan menambah, dalang sebenar semakin terjerat berikutan penahanan orang kanannya terutama Mr T.

    Selain Mr T yang berasal dari Johor, pihak berkuasa Thai juga menahan seorang lelaki warga Taiwan dan dua wanita Thailand. Supakit berkata, pihak berkuasa Thailand mula mengesyaki pembabitan seorang lagi tokoh lebih besar selain Mr T selepas membuat perbandingan asetnya dengan nilai dan kuantiti dadah yang diseludup sindiket itu ke Malaysia sebelum ini.

    Beliau berkata, sindiket itu berjaya menyeludup dalam lima percubaan ke Malaysia sebelum gagal pada percubaan keenam Mac tahun lalu, apabila pihak berkuasa Thailand memintas 282 kilogram syabu di Sadao dan menahan dua lelaki rakyat Malaysia.

    Supakit berkata, dua lelaki warga Malaysia itu yang ditahan mendedahkan operasi sindiket berkenaan dan pembabitan Mr T ketika soal siasat yang dakwa mereka pemilik dadah yang diseludup itu. Pihak berkuasa percaya kehadiran Mr T di Chiang Rai sebelum penahanannya adalah untuk membuat pesanan bagi konsainan dadah yang lain.

    “Setiap percubaan menyeludup dadah membabitkan ratusan kilogram syabu bernilai lebih satu bilion Bath (kira-kira RM126 juta),” menurut beliau dan menambah Mr T membisu apabila ditanya pihak berkuasa mengenai sindiket itu dan peranannya selaku orang kanan.

    “Kami yakin bukti yang kami ada terhadap Mr T dan sindiket itu,” katanya dan menambah pegawai yang terbabit bekerja sepanjang masa selama setahun untuk mengumpulkan bukti sejak penahanan kedua-dua rakyat Malaysia itu pada Mac tahun lalu.

    Tanpa bukti, pihak berkuasa tidak akan mengambil tindakan. Mereka juga mendapat kerjasama yang baik daripada polis Malaysia dan berkata polis Malaysia akan menghantar pegawainya ke Bangkok untuk mengumpul lebih banyak maklumat perisikan terhadap sindiket itu daripada Mr T.

    Menurut Supakit, pihak berkuasa Thailand mula membongkar operasi besar sindiket itu susulan tangkapan Mr T dan lain-lain, membabitkan bukan saja menyeludup jumlah dadah yang besar ke Malaysia, tetapi juga mengusahakan pelbagai perniagaan dengan menjadikan Hatyai dan Sadao, berhampiran sempadan Malaysia, sebagai pangkalannya.

    “Dalam kerjaya saya selama 30 tahun sebagai anggota polis, ini adalah sindiket terbesar,” katanya dan menambah, pihak berkuasa memerlukan lebih banyak masa untuk meneliti dokumen yang bertimbun berkaitan operasi dadah serta perniagaan sindiket itu di Thailand.

    Supakit berkata, sekurang-kurangnya 16 syarikat dipercayai milik rakyat Malaysia yang didakwa mempunyai kaitan dengan sindiket itu dikenal pasti pihak berkuasa, membabitkan pelbagai perniagaan – daripada hartanah, hiburan, kelab malam, hotel, apartmen, resort dan sektor lain.

    Beliau berkata, pemilik dan pengurus syarikat itu masih belum melaporkan diri kepada pihak polis untuk memberi keterangan berhubung dakwaan itu dan jika gagal berbuat demikian, pihak berkuasa akan mengeluarkan waran tangkap terhadap mereka.

    Beliau memberi amaran, polis Thailand dan kerajaan negara itu tidak akan membiarkan mana-mana sindiket jenayah untuk menjadikan negara itu sebagai tempat membersihkan wang hasil daripada aktiviti haram.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Mr T Bukan Dalang Utama Rating: 5 Reviewed By: Samurai Biru
    Scroll to Top