My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday, 19 April 2017

    Nikmati Makanan Jalanan


    “Kat mana nak lepak ye. Jalan raya sesak ni kalau nak balik sekarang.” Begitulah keluhan kebanyakan warga kota selepas penat seharian di pejabat. Jam 6 petang sememangnya waktu kemuncak untuk keluar dari pusat bandar raya Kuala Lumpur. Lebuh raya pula kelihatan sesak dek kenderaan seperti semut yang berbaris panjang dan semakin bertambah. 

    Ketika memandu kala kenderaan ‘melekat’ di jalan raya berhadapan Suria KLCC, penulis terpandang beberapa kumpulan trak makanan atau ‘food truck’ berbaris di padang letak kenderaan bersebelahan Hotel Corus.

    Sebanyak 10 trak makanan menjual pelbagai minuman dan makanan. Ada juga makanan bukan tempatan boleh ditemui malah rasanya turut menyelerakan. Pengalaman menikmati pelbagai menu dalam satu malam tidak hanya untuk warga kota yang masih bujang malah sesuai juga dikunjungi mereka sudah berkeluarga dengan pemandangan bandar raya yang menakjubkan.

    Tapak Urban Street Dining atau TAPAK menawarkan pengalaman baru kepada warga kota yang ingin menikmati makanan jalanan di tengah ibu kota. Ia adalah ilham empat rakan, Mohd Tawfique Hidayat Rosli, 34; Ezarnur Malik, 34; Syed Ezmir Syed Amir, 35 dan Mohd Khairul Anwar Che Aziz, 34.

    Meskipun berlainan latar belakang dan pekerjaan, mereka memiliki impian untuk mengumpulkan pelbagai variasi makanan dalam satu tempat. Malah, pengalaman lalu juga menguatkan semangat dan cita-cita empat anak muda ini apabila sukar mencari tempat untuk melepak selepas bekerja.

    “Pada mulanya hanya 10 trak makanan bersedia memberi komitmen untuk berniaga di sini namun kini hampir 200 trak makanan sudah berdaftar. Dengan jumlah itu, pelanggan tidak mengalami kekurangan menu pilihan namun tidak semua trak makanan dibolehkan menyertai perniagaan di TAPAK dalam sehari.

    “Kami mengehadkan maksimum hanya 10 trak makanan saja sehari bagi membolehkan pengusaha lain menyertai dan menjadi sebahagian daripada keluarga TAPAK,” kata Tawfique.

    Cara sedemikian juga tidak membosankan pengunjung yang sentiasa melepak di TAPAK malah dapat mencuba makanan yang tidak pernah dinikmati. “Jadual dengan sistem giliran dibuat agar tiada trak makanan yang menjual menu sama pada hari sama.

    “Pada masa yang sama, membuka peluang untuk pengendali trak makanan dan TAPAK umpama stesen sehenti untuk mereka mencari rezeki. Kami sedia maklum konsep perniagaan trak makanan adalah sering berpindah-randah maka kita tidak mengehadkan aktiviti mereka di luar tetapi perlu mengikut jadual penjualan makanan di TAPAK.

    “Pengendali trak makanan juga perlu mempunyai identiti sendiri dan tidak caca marba kerana mereka perlu menjaga kualiti makanan dan minuman di TAPAK,” ujar Ezarnur pula.

    TAPAK menawarkan pelbagai variasi dengan harga yang berpatutan dari laksa Penang, mee kolok Sarawak, makanan Barat, makanan Korea, kebab dan tandoori tidak terkecuali minuman seperti ‘coconut shake’, jus mangga dan kopi Vietnam. Menerusi konsep ruang terbuka, TAPAK mampu menampung sehingga 200 pengunjung pada satu-satu masa.

    Meskipun berada di Jalan Ampang (yang diketahui sememangnya sibuk), TAPAK dilengkapi kemudahan asas seperti tempat meletak kenderaan, surau dan tandas. Ia beroperasi setiap hari seawal jam 6 petang sehingga 12 malam pada hari Isnin hingga Khamis dan hari Jumaat pula dari jam 6 petang sehingga 3 pagi.

    Manakala, pada hujung minggu ia beroperasi dari jam 3 petang hingga 3 pagi. Adakalanya, persembahan busking turut memeriahkan suasana malam ketika pengunjung asyik menjamu selera. Pada masa sama, pengunjung turut mengambil bahagian secara langsung ketika berada di sana. 

    Konsep ‘beli, makan, buang sendiri’ sudah menjadi satu kemestian kepada pengunjung agar bekas makanan dan minuman tidak ditinggalkan begitu saja selepas menjamu selera. “Apabila dapat berkumpul sedemikian, pelbagai kisah lama diperkatakan kembali dan kadang-kala mencuit hati jika diingatkan.

    “Pergaulan tanpa telefon kembali seperti di bangku sekolah. TAPAK tidak hanya berkaitan makanan tetapi lebih kepada untuk melihat lebih banyak gelak ketawa pengunjung selepas seharian kepenatan dengan rutin harian pejabat. Mereka yang sudah melaluinya pasti akan berkunjung lagi,” ujar Ezmir sambil tersenyum.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Nikmati Makanan Jalanan Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top