• PANAS

    Wednesday, 26 April 2017

    Dedah Dunia Kerja Sebenar


    Peluang pekerjaan semakin terhad, persaingan pula kian sengit akibat lambakan graduan di negara ini yang menyumbang kepada kadar pengangguran. Dianggarkan 300,000 graduan di negara ini masih menganggur selepas menamatkan pengajian di universiti dan kolej. 

    Ia bukan saja berpunca daripada persaingan bahkan ramai graduan hilang punca memilih karier yang sesuai dengan bidang pengajian. Begitu pun, kerajaan tidak memandang sepi isu itu dan pelaksanaan Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) antara formula untuk menangani masalah berkenaan.

    SL1M ditubuhkan pada Jun 2011 bagi membantu graduan meningkatkan tahap kebolehpasaran mereka selepas tamat pengajian. Program SL1M adalah program kelolaan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri yang dilaksanakan dengan usaha sama Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan syarikat swasta lain.

    Antara faedah yang diperoleh graduan melalui latihan kebolehpasaran ialah mendapat pendedahan dan pengalaman kerja di syarikat yang terdiri daripada pelbagai sektor di seluruh negara. Graduan juga mendapat latihan kemahiran insaniah dan internship selain elaun bulanan.

    Ketika SL1M peringkat Negeri Sarawak berlangsung di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Sabtu lalu, Aini Roslan, 21, mengakui menerima manfaat melalui program itu selepas mendapat pekerjaan bersama rangkaian restoran francais terkemuka di Kuala Lumpur. Graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu memang berhasrat merantau untuk menimba pengalaman lebih luas. 

    “Saya baru menamatkan pengajian peringkat diploma dalam bidang pelancongan dan berharap menimba pengalaman kerja sebelum membuat keputusan untuk melanjutkan pelajaran. Saya memang tidak menyangka cubaan pertama melalui SL1M berjaya. Saya diterima bekerja di Coffee Bean and Tea Leaf di Kuala Lumpur hanya selepas sesi temu duga 10 minit,” katanya.

    Aini menjalani program latihan selama enam bulan di cawangan restoran francais itu di Kuala Lumpur dengan gaji asas RM1,400 selain penginapan, elaun makan RM550 sebulan dan tiket penerbangan ditanggung.

    Graduan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Sanjev Das Arokiadass, 22, berkata, program SL1M selama dua hari itu memberi informasi berguna kepada graduan mencari peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor sama ada kerajaan atau swasta.

    “Program SL1M amat berharga khasnya kepada mereka yang belum mempunyai pekerjaan supaya datang terus melalui temu duga ‘on the spot’. Syarikat yang mengambil bahagian hebat-hebat belaka, antaranya Khazanah Nasional Berhad, PETRONAS, CIMB, Maybank, Telekom Malaysia Berhad dan MAS,” katanya.

    Pemegang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Khairul Anuar Jemi, 23, berkata, di sebalik tekanan ekonomi, SL1M memberi khabar gembira kepada golongan sepertinya yang masih menganggur dan mencari pekerjaan.

    “Saya datang ke program SLIM bersama rakan dengan satu semangat untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik. Ketika ini saya bekerja di sektor perkilangan di Sama Jaya di Kuching dan berharap SL1M akan memberi rezeki kepada saya untuk mendapat pekerjaan lebih baik,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail kagum dengan sambutan di UNIMAS iaitu lokasi ketiga penganjuran berkenaan yang mencapai sasaran 16,000 pengunjung. Beliau berkata, lebih 100 syarikat yang menawarkan 13,000 jawatan kosong dan peluang latihan kepada graduan IPTA menyertai program berkenaan.

    “Inilah peluang yang dibuka luas kepada kumpulan sasar itu untuk mendapatkan peluang pekerjaan atau mencari peluang meningkatkan kemahiran dengan mengikuti latihan yang ditawarkan. “Kami gembira dengan sambutan di UNIMAS ini dan percaya keadaan sama akan berlaku di lokasi lain,” katanya.

    Selepas ini SL1M akan singgah di Alor Setar, Kedah pada 5 dan 6 Mei, Kota Kinabalu, Sabah (22 dan 23 Julai), Ayer Keroh, Melaka (26 dan 27 Ogos) dan Tanjung Malim, Perak pada 23 dan 24 September.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Dedah Dunia Kerja Sebenar Rating: 5 Reviewed By: Samurai Biru
    Scroll to Top