My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday, 11 April 2017

    Konsert Wings & Superfriends Terbaik!





    Memenuhi janji Datuk Awie, Eddie dan Black sebelum ini, Konsert Wings & Superfriends - Belenggu Irama yang berlangsung selama empat malam bermula Khamis, 6 April sehingga semalam (Ahad, 9 April) di Istana Budaya, ternyata memberi kepuasan maksimum kepada peminat. 

    Biarpun tampil berbeza dengan Syam sebagai pemain gitar utama dan konsep berlainan berbanding konsert Wings terdahulu di lokasi berprestij itu, ia langsung tidak menjejaskan keterujaan pengikut mereka menikmati apa yang disajikan. Tentunya ungkapan puas yang terungkap di bibir penonton konsert berdurasi dua jam setengah itu.

    Bahkan tempoh itu dirasakan terlalu singkat kerana sedang asyik berhibur, ia sudah sampai ke penghujung. Jika jika ditanya pendapat ramai, pasti sepakat mengakui Konsert Wings & Superfriends - Belenggu Irama 2017 wajar diangkat sebagai konsert terbaik tahun ini.

    Pembabitan penyanyi hebat Datuk M Nasir, Datuk Ramli Sarip, Datuk Hattan, Datuk Nash, Datuk Siti Nurhaliza, Ito, Sahara Yaacob, Liza Hanim, Lan Kristal dan Haiza yang bergabung tenaga dengan penyanyi angkatan baru antaranya Syamel AF, Maya Karin, Billa AF, Kudeen 3 Juara, Uchop Bukan Sekadar Rupa dan Aniq Ceria Pop Star berjaya mewujudkan keseimbangan, sekali gus menepati konsep ‘superfriends’ yang dicanangkan.

    Kemunculan mereka bagaimanapun tidak menenggelamkan Awie dan Wings kerana pecahan segmen yang dibuat membuktikan semuanya mempunyai peranan masing-masing yang dilunaskan dengan sempurna.

    Tidak terkecuali kemunculan Beto Kusyairy menerusi segmen monolog pada awal konsert serta penampilan khas Yazit Ahmad sebagai ikon rock yang turut beraksi menjadi antara daya penarik konsert itu.

    Pemuzik jemputan iaitu Syam, Edrie Hashim, Rosli Mohalim, Kudin Headwind, Yan Lefthanded, Eddie Defgabc, Lola Defgabc, Rodi Kristal, Hamzah, Pae dan Fly juga tidak menghampakan apabila tampak serasi sehingga berjaya membangkitkan mood tersendiri dalam konsert itu.

    Pada malam pertama konsert berlangsung, peminat bersorak gembira dengan kemunculan Beto dan Awie menerusi segmen monolog yang membicarakan mengenai permasalahan yang berlaku dalam industri seni tanah air.

    Biarpun ringkas, monolog nukilan Dilla Hussein ini membuka mata peminat terhadap dilema penyanyi dan pelakon yang berdepan belenggu isu cetak rompak sehingga kini. Awie seterusnya menyanyikan lagu Bongkar, Hukum Karma dan Bujang Senang sebelum berhenti seketika untuk berkomunikasi dengan penonton.

    Awie kemudian bergandingan dengan Kudeen menyampaikan lagu Sayap Ilusi dengan diiringi petikan gitar Rodi. Suasana ketika ini riuh dengan jerit pekik penonton. Persembahan menarik diteruskan lagi dengan lagu Mentari Merah Di Ufuk Timur yang dialunkan Syamel dan Uchop dengan iringan pemuzik Syam, Yan, Lola serta Rodi.

    Billa pula bergandingan dengan Lan menerusi medley lagu Semalam Yang Hangat dan Layang-Layang Terputus Talinya dengan giliran Eddie bermain bass, manakala adik Aniq menerusi lagu Tinggalkan Satu Peluru.

    Seterusnya Awie bergandingan dengan Maya menerusi lagu Namun Ku Punya Hati, Syamel dan Kudeen (Hanya Nama Mu), Liza Hanim dan Billa (Anugerah), Rosli Mohalim, Ito dan Sahara (Tangisan Marhain).

    Sahara menerima tepukan bergemuruh daripada penonton. Ibarat melepaskan kerinduan untuk menyanyi, dia menampilkan persembahan lincah dan bertenaga. Lagu-lagu lain yang dinyanyikan ialah Gemala Saktiku (Awie & Ito), Dalam Kehadiran Sofiah (Sahara & Billa) dan Jeritan Batinku (Awie).

    Kemunculan Yazit di atas pentas yang diperkenalkan sebagai ikon rock disambut positif penonton. Tidak terkecuali ada yang bersimpati dengan keadaan kesihatan pemain dram legenda itu. Dalam keadaannya yang sukar dia masih memukau dengan ketukan dram bertenaga menerusi lagu Belenggu Irama nyanyian semua artis serta Meniti Titian Usang oleh Awie, M Nasir dan Nash.

    Peminat dapat menikmati keaslian lagu ini menerusi petikan gitar Syam yang terbabit dalam album pertama Wings pada 1987 ini. Kolaborasi M Nasir, Nash dan Hattan menerusi lagu Kepada Mu Kekasih menjadi detik terindah buat penonton yang hadir.

    Kehangatan diteruskan lagi dengan gandingan M Nasir dan Hattan menerusi lagu Gerhana disusuli persembahan hebat Ramli Sarip melalui lagu malar segar Kamelia dan Musibah yang diiringi Awie. Harapan, Sejati, Rantai serta Bernafas Dalam Lumpur menjadi empat lagu penutup tirai konsert dan penonton pulang dengan senyuman puas.

    Perlu diingat, matlamat konsert anjuran Awie Entertainment ini adalah mendidik masyarakat untuk menghibur sambil menderma dan antara penerimanya ialah Sahara Yaacob serta Yazit. Oleh itu, lagu yang ditampilkan turut menyentuh mengenai semangat setiakawan dan bukanlah sekadar lagu popular Wings semata-mata.

    Bagaimanapun, Awie agak terkilan kerana usahanya kurang mendapat sokongan segelintir penggiat seni tanah air. “Saya mengharapkan ramai artis kita datang beli tiket dan melabur demi saham akhirat, tetapi mereka seolah-olah tak ambil kisah pasal orang lain.

    “Mungkin perkara ini terjadi kerana masing-masing pentingkan diri dan berada di zon selesa. Mereka lupa bahawa hidup ini bagaikan roda dan pada bila-bila masa saja boleh berada di bawah,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Konsert Wings & Superfriends Terbaik! Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top