Satu rakaman video menunjukkan detik-detik seorang anggota polis menyelamatkan seorang wanita dan bayinya yang dijadikan tebusan oleh seorang perompak di Jakarta Timur kelmarin. Wanita itu dan bayinya dilaporkan dijadikan tebusan oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Herman di dalam sebuah van yang dijadikan teksi.
Herman, 28, dipercayai cuba merompak wanita itu yang dikenali sebagai Isnawati, 40, ketika mereka menaiki van itu. Bagaimanapun, Isnawati menjerit meminta tolong menyebabkan orang ramai di kawasan itu terus mengepung van berkenaan.
Kerana tidak sempat melarikan diri, Herman segera mengacukan pisau pada Isnawati dan menjadikan mangsa sebagai tebusan. Seorang anggota polis trafik, Aiptu Sunaryanto yang berada di lokasi kejadian cuba berunding dengan Herman tetapi suspek enggan melepaskan mangsa.
Rakaman video di lokasi kejadian menunjukkan Herman meletakkan pisau di leher mangsa sambil menjerit meminta dia dilepaskan Selepas lebih setengah jam berunding, Aiptu akhirnya terpaksa bertindak dengan menembak tangan kanan Herman menyebabkan pisau di tangannya terlepas.
Tindakan berani Aiptu itu berjaya menyelamatkan nyawa mangsa dan anaknya manakala Herman yang ditangkap dibawa ke hospital akibat cedera di tangan.
0 comments:
Post a Comment