My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday, 25 April 2017

    Episod Lega Along, Balqis


    Tiada penyingkiran pada minggu battle suku akhir program Mentor Milenia 2017. Ini melayakkan lima peserta kekal ke separuh akhir pada minggu depan. Malah, ia turut memberi nafas lega buat dua protege, Along dan Balqis meskipun masing-masing terus berada di kedudukan terbawah sejak beberapa minggu yang lalu. 

    Melalui saat-saat tertekan ketika pengumuman peserta terbawah kedudukannya, selaku mentor kepada Along iaitu Tomok dia berasakan protegenya itu sudah memberikan yang terbaik. “Saya melihat perkembangan Along pada setiap minggu dan sebagai orang yang sudah lama berada dalam industri, saya juga melihat Along sudah memberikan yang terbaik pada setiap persembahannya. 

    “Apabila dia berada di kedudukan yang terendah, saya tertekan kerana sangat berharap Along terus kekal sehingga ke peringkat akhir. Namun, saya akur undian juri awam dan online mungkin memberi kesan kepada kedudukan Along,” katanya.

    Pada konsert minggu kelapan suku akhir itu, lima peserta menampilkan lagu seperti Meraung (Along), Arjuna Beta (Syeera), Bosan (Elica), Menahan Rindu (Usop) dan Tetap Dalam Jiwa (Balqis). Sementara itu, mewakili anak didiknya Balqis, Hazama juga berharap pesertanya itu kekal terus sehingga ke final.

    Meskipun melalui tekanan berganda kerana mempunyai dua protege yang masih kekal Hazama tidak boleh duduk diam saja. “Saya sudah memberikan latihan yang terbaik buat Balqis, namun begitu, saya tidak boleh mengabaikan Usop. Saya harus memberi perhatian kepada kedua-dua mereka. 

    “Apabila Balqis berada di kedudukan terbawah, saya bimbang dan ini memaksa saya untuk fokus lebih kepada Balqis. Pun begitu, dalam soal undian online dan juri awam saya tidak boleh buat apa-apa,” katanya.

    Hazama berkata, walaupun bersyukur dua protegenya masih kekal, namun, tekanan yang dirasakan semakin berganda. “Saya perlu memberikan yang lebih baik kepada mereka. Waktu sudah tidak banyak dan saya perlu lebih fokus dan berharap kedua-dua mereka berjaya hingga ke final.

    “Balqis dan Usop berbeza latar belakang. Balqis sudah ada pengalaman dan senang untuk saya bimbing sedangkan Usop kehadirannya tiada asas dalam bidang seni dan saya perlu memberikan perhatian sama kepadanya,” katanya.

    Pada konsert minggu kelapan ini, Usop sekali lagi menjadi juara mingguan dan ini adalah kali kedua Usop memegang gelaran itu. “Alhamdulillah, saya memang tidak sangka menjadi juara untuk minggu ini. Mungkin genre lagu yang dibawa sesuai dengan jiwa membuatkan saya boleh membawakan lagu berkenaan dengan baik.

    “Saya juga berterima kasih pada peminat yang terus menyokong dan mengundi. Walaupun kadang kala sokongan mereka itu memberi sedikit tekanan, namun, saya akan cuba memberikan yang terbaik kerana saya anggap sokongan peminat semua adalah semangat untuk saya terus berada di pentas Mentor Milenia 2017,” katanya.

    Selain Datuk Hattan, Yasin Sulaiman turut hadir menjadi juri jemputan. Tidak ketinggalan Sarimah Ibrahim sebagai juri awam. Hadir memeriahkan konsert, penampilan istimewa Sufian Suhaimi yang menyanyikan lagu Harus Aku dan Terakhir.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Episod Lega Along, Balqis Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top