Hari demi hari, bahang Pilihan Raya Umum ke 14 semakin dirasai. Sepanjang tempoh penggal kali ini, tidak dinafikan, inilah penggal yang paling mencabar buat kerajaan Barisan Nasional khususnya MCA, antara parti yang menerima impak terbesar tsunami pengundi Cina pada Pilihan Raya Umum ke 13 yang lalu.
Melihat nasib rakyat yang ditadbir oleh parti pembangkang khususnya DAP, sebenarnya ia cukup menyedihkan. Manakan tidak, ada diantara kerusi Parlimen kini sudah memasuki dua penggal ditadbir oleh pembangkang, namun janji-janji manis yang ditabur, langsung tidak dipenuhi.
Lebih mendukacitakan apabila ada diantara Ahli Parlimen pembangkang yang telah merampas kerusi milik Barisan Nasional dan MCA pada PRU ke 13 lalu, langsung tidak menunjukkan muka kepada pengundi mereka. Ini menjadikan penduduk yang diwakili mengalami masalah untuk menyuarakan masalah mereka untuk didengari oleh wakil rakyat mereka.
Sudahlah masalah rakyat pun tidak didengari atau ditangani, pembangunan yang mereka janjikan pun langsung tidak kunjung tiba. Apa yang ada hanyalah projek pembangunan yang dibawa oleh kerajaan pusat yang sememangnya telah dirancang sejak sekian lama.
Lihat sahaja nasib yang menimpa Raub, Gopeng, Selayang, Kampar dan beberapa buah kawasan yang sengaja dibiarkan oleh Ahli Parlimen pembangkang yang memenangi Parlimen berkenaan. Tidakkah ianya sudah cukup menggambarkan betapa wakil rakyat pembangkang ini hanya pandai menjual janji manis kosong tanpa ada sebarang pelan pembangunan di kawasan masing-masing?
PRU ke 14 semakin tiba. Pada ketika inilah segala tanggungjawab untuk memilih sebuah kerajaan akan diserahkan kepada pengundi berdaftar. Untuk ini, nilaikan semula apa nikmat yang diperolehi hasil daripada mengundi pembangkang.
Kawasan-kawasan yang ditadbir pembangkang sejak PRU ke 13 lalu harus dirampas semula. Sebagai sebuah parti komponen utama BN, MCA harus bekerja lebih keras untuk meyakinkan semula kaum Cina agar menolak semua dakyah kosong dan jahat DAP serta pembangkang. Andai ini berjaya dilaksanakan, sudah pasti, 20 sasaran kerusi yang disasarkan MCA akan mampu dirampas semula.
0 comments:
Post a Comment