Polis sedang memburu seorang lelaki yang disyaki memecah masuk Pejabat Menteri Besar Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini, kelmarin. Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu Superintendan Setapa Yusoff berkata, pihaknya sudah mengenal pasti suspek berusia 39 tahun itu menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan tangkapan akan dilakukan pada bila-bila masa.
Katanya, kegiatan berkenaan dilakukan secara bersendirian oleh suspek antara 2 hingga 3 pagi. Menurutnya, siasatan mendapati suspek mempunyai 13 rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah. “Gerakan mengesan suspek giat dilakukan dan tangkapan akan dilakukan dalam masa terdekat.
“Kita menafikan suspek masuk ke pejabat berkenaan untuk mencuri dokumen atau orang suruhan seseorang. Namun, polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui motif lelaki itu.
“Kegiatan dalam tempoh satu jam itu menyebabkan sejumlah wang tunai sebanyak RM1,500 dan dua bentuk cincin bernilai RM1,000 hilang,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Pengkalan Chepa, di sini, semalam.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. Katanya, suspek melakukan kegiatan itu dengan mengumpil pintu dan naik ke tingkat satu serta mengumpil tingkap untuk masuk ke pejabat berkenaan.
Media semalam melaporkan Pejabat Menteri Besar Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini, dipecah masuk menyebabkan sejumlah wang dan dua cincin zamrud hilang.
0 comments:
Post a Comment