My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday, 10 April 2017

    Tahap Keselamatan Tinggi, Tepat


    Teknologi hari ini memberi kesan kepada setiap aspek kehidupan masyarakat moden. Malah, tiada satu industri pun yang terkecuali daripada revolusi teknologi tinggi termasuk bidang perubatan dan penjagaan kesihatan. 

    Penemuan teknologi mengubah cara penjagaan kesihatan disampaikan malah teknologi moden meningkatkan struktur dan organisasi bidang perubatan secara keseluruhan. Ini termasuk kaedah pembedahan yang lebih canggih dan sesetengahnya hanya membabitkan prosedur insisi kecil iaitu laparoskopi berbanding kaedah pembedahan terbuka konvensional.

    Melalui laparoskopi atau dikenali pembedahan ‘lubang kunci’, tiub nipis (teleskop) dimasukkan melalui insisi kecil di bahagian abdomen. Sebuah kamera kecil di hujung tiub memaparkan imej di skrin televisyen dan pakar bedah menggunakan video dua dimensi (2D) ini untuk melihat apa yang dilakukannya.

    Dua atau tiga lagi insisi kecil dibuat apabila instrumen pembedahan dimasukkan untuk melakukan pembedahan. Laparoskopi sudah wujud selama beberapa dekad dan teknologi ini mengalami peningkatan yang stabil, daripada imej definisi standard hingga definisi tinggi (HD) dan seterusnya pengimejan tiga dimensi (3D).

    Laparoskopi yang menggunakan pengimejan 3D membolehkan pakar bedah melihat organ dalam abdomen dalam bentuk 3D sebenar dalam HD. Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan Perubatan Reproduktif, Pusat Perubatan Mahkota Melaka Dr S Selva berkata, laparoskopi dalam ginekologi boleh dilakukan untuk menentukan diagnosis serta rawatan pelbagai penyakit sakit puan. 

    Katanya, melalui laparoskopi, pakar bedah boleh menggambarkan dan melihat organ pelvis dalam imej di skrin, menjadikan pembedahan lebih mudah dan lebih selamat.

    “Banyak prosedur boleh dilakukan melalui laparoskopi dalam ginekologi, antaranya ligasi tiub (mengikat tiub fallopio), membuang fibroid daripada rahim atau sista dari ovari dan menggunakan laser untuk merawat luka endometriotik dalam pelvis.

    “Laparoskopi juga membabitkan pembedahan invasif minimum untuk pelbagai keadaan klinikal yang memberi lebih banyak kelebihan berbanding pembedahan terbuka tradisional. Selain menjadikan pembedahan laparoskopi yang lebih baik dan mudah untuk pakar bedah, kemajuan teknologi turut memberi manfaat besar kepada pesakit.

    “Sebagai contoh, pembedahan laparoskopi menggunakan teknologi 3D memastikan tahap keselamatan yang tinggi dan ketepatan. Ia membabitkan insisi kecil yang bermakna kurang sakit dan parut untuk pesakit. “Ia membolehkan fungsi usus pulih lebih cepat selepas pembedahan selain
    mengurangkan risiko komplikasi pembedahan, jangkitan luka atau pelekatan selepas pembedahan. 

    “Dalam erti kata lain, ia membolehkan pemulihan pantas untuk pesakit, menyebabkan tempoh pesakit di wad hospital lebih pendek dan bil kurang dalam jangka masa panjang,” katanya.

    Dengan kesedaran awam dan penerimaan pembedahan laparoskopi di Malaysia yang masih rendah, Mahkota Medical Centre memberi tumpuan kepada memperjuangkan kefahaman dan pengetahuan yang lebih mendalam mengenai pembedahan laparoskopi supaya pesakit boleh membuat pilihan lebih bijak mengenai pilihan rawatan pembedahan mereka.

    Menurutnya, hospital itu turut memberi tumpuan untuk mewujudkan kesedaran dan menggalakkan wanita mempertimbangkan prosedur pembedahan invasif minimum ini yang terbukti sebagai pilihan berbanding pembedahan terbuka konvensional.

    Susulan itu, Dr Selva turut melancarkan bukunya bertajuk Laparoscopic Surgery in Gynaecology and Common Diseases in Women - Surgery with Minimal Scars and Maximal Benefits.

    Buku itu merangkumi maklumat terkini mengenai sakit puan dan kemajuan baru dalam pilihan laparoskopi yang boleh dilakukan sebagai pesakit luar dengan kurang parut, pendarahan dan kesakitan.

    Ini merangkumi prosedur seperti cystectomy ovari, histerektomi, pemotongan endometriosis dan pembuangan lekatan pelvis yang boleh dilakukan dengan insisi kecil pada pusat perut.

    Buku itu turut menunjukkan cara laparoskopi boleh merawat keadaan sakit puan biasa seperti fibroid rahim, endometriosis, histerektomi, myomectomie, dan keadaan kesihatan yang lain dengan kesakitan minimum, tahap komplikasi lebih rendah, dan pemulihan yang lebih cepat. Beliau turut berkongsi manfaat laparoskopi dalam bidang ginekologi melalui video pembedahan sebenar yang dilakukannya.
    Buku yang dijual pada harga RM100 itu boleh didapati di Pusat Perubatan Mahkota dengan 20 peratus daripada hasil jualan disalurkan kepada Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) untuk membantu usaha yayasan itu dalam memperjuangkan rawatan IVF bagi rakyat Malaysia dan mengetengahkan kaitan penting antara pembedahan laparoskopi sakit puan dan rawatan kesuburan. 

    Sejak menerima latihan pertama dalam laparoskopi pada 1994, Dr Selva sudah menjalankan lebih 5,000 kes pembedahan laparoskopi. Menurutnya, prosedur itu menyediakan lebih banyak pilihan, kemudahan yang lebih besar dan keselesaan bagi wanita. “Sebagai pakar perbidanan dan sakit puan, saya percaya laparoskopi benar-benar boleh mengubah cara pesakit melihat rawatan perubatan. 

    “Pembedahan ini bukan saja dapat memberi pilihan pesakit untuk rawatan, tetapi ia juga membolehkan pesakit mengalami pemulihan lebih cepat, kesakitan yang kurang dan kurang parut kerana pembabitan hanya insisi kecil dalam prosedur,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan Mahkota Stanley Lam berkata, pusat perubatan memainkan peranan penting dalam mendidik dan membabitkan orang ramai mengenai pilihan rawatan yang ada untuk setiap keadaan.

    Menurutnya, di samping menyediakan penjagaan kesihatan berkualiti yang komprehensif untuk pesakit, pusat perubatan juga harus berfungsi sebagai platform untuk mendidik orang ramai mengenai kemajuan dalam rawatan perubatan dan pembedahan.

    “Pusat perubatan ini komited untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai manfaat pembedahan laparoskopi, memberi pilihan kepada mereka dengan pengetahuan yang diperlukan untuk membuat keputusan terbaik demi kesejahteraan mereka,” katanya.

    Pusat perubatan terbabit akan melancarkan siri ceramah kesihatan berkaitan pembedahan laparoskopi dalam tempoh dua bulan akan datang. Orang ramai digalakkan untuk menyertainya bagi mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai laparoskopi.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Tahap Keselamatan Tinggi, Tepat Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top