Hot Wheels, Tamiya dan pelbagai lagi koleksi kereta mainan berjenama mahal antara kegilaan remaja kini. Namun, jangan pula hairan jika penulis katakan wujudnya komuniti terdiri daripada generasi muda yang berminat mengumpul model kenderaan tentera seperti kereta kebal berperisai dan pesawat tempur.
Usaha itu diwujudkan Mohd Fahmi Naim Abdullah bersama dua lagi rakannya, Wan Hashim dan Syazwan Zalani yang menubuhkan komuniti Modska Skunk Werx di Facebook pada 2015. Menceritakan mengenai awal penubuhannya, Fahmi berkata, dia pada mulanya berhasrat menyertai latihan ketenteraan namun tidak berjaya dan fizikal antara faktor.
“Saya memang minat sertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Tapi disebabkan tak berupaya, saya fikir cara untuk terapkan keinginan ini dengan cara yang lain.
“Kebetulan abang saya memang mengumpul ‘scale model’ ini sejak dulu. Dari situ, saya tertarik dengan hobinya dan dia menempah model baru seperti kereta kebal kemudian memasang serta mengecatnya sendiri. Ia ada nilai seni tersendiri,” katanya.
Dia kemudian mengikuti jejak langkah abangnya dengan menempah model seperti kereta kebal, kapal perang dan pesawat juang yang biasa didapati di Jepun, China, Taiwan serta Amerika Syarikat.
“Pada mulanya saya membelanjakan lebih RM1,000 untuk membeli alat pengubahsuaian seperti cat, ‘compresser’ dan ‘air gun’ sebagai permulaan. “Dari situ timbul rasa ketagih untuk memasang setiap model dibeli hingga siap. Biasanya ia mengambil masa minimum sebulan untuk disiapkan,” katanya.
Menurutnya, minat itu kemudian dikembangkan kepada hobi dan seterusnya membawa kepada idea penubuhan komuniti itu. “Saya mengajak kenalan di universiti dan ramai lagi kawan sekolah yang memang berminat memasang model kenderaan tentera ini.
“Selepas tiga bulan, alhamdulillah kami mempunyai bilangan ahli mencecah 300 orang terdiri daripada usia seawal 15 tahun hinggalah 50 tahun. “Kami turut berkongsi tip dan cara menghasilkan sebuah model yang mampu menyamai pesawat juang milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan kereta kebal tempur Tentera Darat Malaysia,” katanya.
Didorong minat untuk menarik lebih generasi muda membabitkan diri dalam hobi ini, Fahmi menggiatkan usaha komuniti ini dengan menyertai ekspo hobi tempatan. “Kami mula menyertai Malaysia Miniature Hobby Show untuk mempamerkan koleksi ‘scale model’ yang sudah siap dipasang dan diubah suai.
“Dari situ ramai mula menyedari rupanya terdapat komuniti dalam kalangan ‘modeler’ dan bukan pengumpul yang membeli model siap dipasang dari kilang saja,” katanya yang juga menyertai Malaysia Hobby Expo dan Collectors Toys Fair Kuala Lumpur.
Kata Fahmi, setiap ahli komuniti itu tidak mensia-siakan peluang menghasilkan model yang cantik kerana terdapat pertandingan untuk disertai. “Selain kepuasan untuk diri sendiri, kami semua giat menyertai pertandingan model kenderaan tentera paling menarik.
“Dari situ kita boleh nampak kreativiti setiap ‘modeler’ yang menggunakan hasil sentuhan sendiri. Berbeza dengan model yang sudah siap dipasang di kilang, kami menggunakan kudrat dan kemahiran sendiri untuk melengkapkan model ini. Jadi kepuasan itu ternyata berbaloi apabila model diiktiraf juri berpengalaman,” katanya.
Menurutnya, hobi ini membuka perspektif baru kepada setiap ahli komuniti. “Ketika proses pemasangan model ini, kami cuba pelbagai eksperimen baru yang berkaitan dengan sains. Dari situ kami menemui cara terkini untuk menyiapkan tapak menggunakan bahan terpakai dan organik. Malah, setiap ahli mempunyai cara tersendiri mempersembahkan hasil seni mereka,” katanya.
0 comments:
Post a Comment