Korea Utara merayu negara Asia Tenggara untuk menyokongnya dalam sengketanya dengan Amerika Syarikat (AS) bagi menghalang kemungkinan perang nuklear.
Dalam surat kepada Setiausaha Agung Persatuan Negara Asia Tenggara (ASEAN), Menteri Luar Korea Utara Ri Yong-Ho memberi amaran keadaan di Semenanjung Korea kini berada di ambang perang kerana tindak-tanduk Washington.
Dia menggesa Setiausaha Agung itu memaklumkan kepada menteri luar 10 negara Asean mengenai keadaan itu di samping mengkritik latihan ketenteraan Amerika Syarikat-Korea Selatan.
Ketegangan semakin meningkat di rantau berkenaan sejak beberapa minggu lalu berikutan tindakan Korea Utara mengadakan ujian misil dan retorik dari Washington berkaitan program senjata negara berkenaan. Surat bertarikh 23 Mac itu dihantar menjelang sidang kemuncak blok serantau itu minggu ini.
“Saya berharap Asean yang memberi tumpuan kepada keamanan dan kestabilan serantau akan membangkitkan isu mengenai latihan ketenteraan bersama AS-Korea Selatan dengan adil dan memainkan peranan aktif dalam melindungi keamanan dan keselamatan di Semenanjung Korea.” menurut kandungan surat itu.
Pyongyang diketahui mempunyai hubungan rapat dengan beberapa negara Asean, termasuk Kemboja dan Laos. Hubungan diplomatiknya dengan Malaysia terjejas selepas pembunuhan Kim Jong-Nam, abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un di Kuala Lumpur Februari lalu.
Washington mengerahkan armada tentera lautnya ke semenanjung Korea selepas tanda-tanda menunjukkan Korea Utara mungkin bersiap untuk melakukan ujian nuklear keenamnya.
0 comments:
Post a Comment