My Blog List

Translate

  • PANAS

    Saturday, 15 April 2017

    Dunia Kini Diancam Perang Antara Proksi


    Minggu lalu, seluruh dunia tergamam dan berang apabila penduduk di Idlib, Syria diserang dengan menggunakan bom kimia oleh pasukan tentera Syria dengan di bantu oleh Russia. Imej-imej mangsa korban seramai 87 orang, separuh daripadanya adalah kanak-kanak, pantas mendapat kecaman antarabangsa yang menyifatkan serangan seumpama ini tidak bertamadun dan cukup kejam.

    Impak dari serangan ini, Presiden Donald Trump pantas mengeluarkan arahan untuk mengebom depot simpanan senjata tentera Syria dengan mengorbankan lebih 35 orang. Keadaan ini telah menimbulkan ketegangan antarabangsa yang cukup bimbang, kancah perang di Syria akan merebak lebih jauh.

    Sehari selepas mengeluarkan arahan eksekutif menyerang Syria, Pentagon mengumumkan telah menggerakkan satu armada tentera lautnya menuju ke Teluk Korea dengan diketuai oleh kapal pengangkut berkuasa nuklear, USS Carl Vinson. Semua ini dilakukan sebagai persiapan untuk menyerang Korea Utara jika negara berkenaan berkeras melaksanakan ujian nuklear yang dijadualkan hari ini.

    Perkembangan ini pantas menimbulkan kebimbangan dunia. Adakah dunia akan berhadapan dengan satu lagi siri perang dunia setelah Perang Dunia Kedua berlaku yang diakhiri dengan jumlah kematian mencecah 10 juta orang? Masih adakah jalan penyelesaian tanpa menggunakan senjata oleh Amerika Syarikat, Russia dan China?

    Sebenarnya, reaksi tegas dari Amerika Syarikat ini agak mengejutkan. Ini kerana, dalam kempen Pilihan Raya Presiden Amerika tahun lalu, Donald Trump dilaporkan enggan mencampuri sebarang konflik persenjataan di Rantau Asia Barat mahupun mana-mana negara lain di dunia. Ini kerana, dasar beliau yang mahu memperkasakan keselamatan dalaman Amerika terlebih dahulu.

    Namun semuanya berubah hari ini di mana terbaru, Amerika telah melancarkan serangan dengan menggunakan bom bukan nuklear terbesarnya di bumi Afghanistan. Ini meneruskan rentetan serangan bersenjata oleh Amerika terhadap lokasi yang dirasakan perlu oleh Washington.

    Walaupun serangan ini dilakukan bagi menghancurkan kompleks terowong pergunungan di Afghanistan, pemerhati berpendapat, ianya adalah amaran keras terhadap Korea Utara ketika wujud kebimbangan Pyongyang berkeras mahu melancarkan ujian peluru berpandu.

    Jika sesiapa perasan, ketegangan yang meletus ini sebenarnya melibatkan dua buah proksi, proksi pro Amerika dan Barat dan proksi Russia, China dan Korea Utara. Jika sekitar 1970 hingga 1980an, dunia dihiasi dengan krisis Perang Dingin yang mengakibatkan dunia yang kita kenali pada hari ini terbahagi kepada dua bahagian.

    Berdasarkan kepada keadaan semasa, dunia mungkin sekali lagi terpaksa berhadapan dengan dua kuasa besar dengan Amerika berusaha menyekat kebangkitan semula Russia dan Russia pula berusaha mencabar kekuasaan tunggal Amerika. Syria, Afghanistan dan Korea Utara hanyalah penyebab tetapi punca utama adalah, persaingan untuk menunjukkan kekuatan, siapa sebenarnya yang layak menerajui dunia.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Dunia Kini Diancam Perang Antara Proksi Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top