My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday 1 August 2017

    Ancaman Rabies Masih Belum Berakhir



    Wabak rabies atau penyakit anjing gila yang sedang melanda negeri ini, belum lagi menunjukkan tanda akan berakhir walaupun operasi pemvaksinan telah dilakukan secara besar-besaran. Justeru, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata masih terlalu awal untuk membuat pengisytiharan bahawa Sarawak akan bebas daripada rabies. 

    “Terlalu awal untuk membuat apa-apa keputusan atau pengisytiharan tetapi kita harapkan tidak ada tempat baharu dan sekiranya ada, kita akan mengambil langkah-langkah yang sama,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media semasa mengadakan lawatan ke Operasi Pemvaksinan Wabak Rabies di Dewan Suarah Bau di sini, semalam yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

    Menurut Shabery, keadaan wabak rabies di Sarawak kini stabil memandangkan jumlah 22 kawasan yang didapati positif rabies masih kekal. “Kami menjadikan kawasan ini sebagai kawasan pengawasan, dengan radius 10 kilometer di setiap kawasan terjejas dan kita melakukan vaksinasi selain melihat sekiranya ada kes-kes baharu,” katanya.

    Sementara itu, beliau berkata kerajaan telah menempah 50,000 lagi vaksin anti-rabies untuk dibekalkan khususnya kepada Sarawak. Beliau menambah, vaksin itu ditempah daripada Pertubuhan Kesihatan Haiwan (OIE), sebuah badan antarabangsa yang menyediakan vaksin di beberapa lokasi di seluruh dunia, yang berpangkalan di Bangkok, Thailand.

    “Jangan bimbang kerana jumlah vaksin yang disediakan mencukupi. Kita akan terus memantau dan kalau perlu, kita tempah lagi supaya dapat dihantar ke negara kita secepat mungkin,” katanya.

    Shabery juga berkata kira-kira 23,000 ekor anjing dan kucing di seluruh Sarawak telah divaksin setakat ini, yang kebanyakannya merupakan haiwan peliharaan. “Untuk anjing liar dan yang tiada tuan, kita menggunakan prosedur biasa...kita akan asingkan mereka dan biasanya ia ditidurkan,” katanya sambil menambah setakat ini, sebanyak 577 ekor anjing liar telah ditangkap dari 22 kawasan di negeri ini.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Ancaman Rabies Masih Belum Berakhir Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top