My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday 3 August 2017

    Bohong Si Kecil


    Ibu bapa mana yang tidak sedih dan kecewa sebaik saja mendapat tahu si kecil sudah pandai berbohong sedangkan tidak ada mana-mana ibu bapa atau penjaga mengajar berbuat demikian. Adakah berbohong sesuatu yang normal bagi kanak-kanak atau sebaliknya? 

    Perunding Kanan (Pendidikan & Keibubapaan) Ikhwah Training & Resources Nur Firdaus Abdul Razak berkata, berbohong boleh berlaku dalam tiga bentuk bagi kanak-kanak iaitu bercerita yang ada dua makna, mengubah suai cerita sebenar atau mencipta satu cerita palsu sepenuhnya.

    Menurutnya, biasanya kita dengar orang mengistilahkan bentuk pertama pembohongan itu sebagai helah, bentuk kedua sebagai ‘goreng’ dan bentuk ketiga itu menipu namun apa juga istilah ketiga-tiganya tetap satu pembohongan.

    “Kanak-kanak yang berusia antara tiga hingga lima tahun sering kali dianggap berbohong. Ya, mereka selalu menambah-nambah ketika bercerita, malahan kreatif dalam mencipta cerita baru. 

    “Namun kita perlu fahami, mereka sedang berada berada dalam tahap ‘Preconceptual’ (subtahap bagi tahap praoperasi kognitif). Fikiran mereka aktif melakar segala bentuk fantasi. Kotak menjadi kereta, berus menjadi buaya, meja pula dilihat sebagai jalan raya dan sebagainya,” katanya.

    Nur Firdaus berkata, oleh itu ada kebarangkalian yang tinggi untuk mereka terkeliru antara bayangan fantasi dengan perkara sebenar apabila bercerita. “Faktor bahasa juga menyebabkan mereka sering disangka berbohong. Dalam situasi penguasaan bahasa masih terhad, mereka kadang-kadang hilang perkataan dan akan terus ucapkan apa saja yang mereka tahu atau terlintas di kepala.

    “Kita biasa lihat anak kecil bersungguh-sungguh untuk bercerita. Adakah kanak-kanak berusia tiga tahun memang tidak berbohong? Tidak juga. Ada kanak-kanak yang sudah mula berbohong seawal usia dua tahun atau tiga tahun lagi,” ujarnya.

    Menurutnya, walaupun tidak ramai tetapi ia berlaku. Pembohongan ketika usia ini lazimnya berkaitan untuk menyelamatkan diri daripada hukuman, khususnya apabila melakukan sesuatu yang akan menimbulkan kemarahan ibu bapa atau orang tertentu.

    “Sebagai contoh, kanak-kanak ini benar-benar mengenali sifat ibunya yang sayangkan pasu hiasan. Anak itu pernah kali dipukul kerana memecahkan beberapa pasu secara tidak sengaja dan apabila meningkat ke usia tiga tahun, dia mula berani tidak mengaku dan menyalahkan adiknya pula dan kes seperti ini biasa berlaku.

    “Peringkat usia dua tahun adalah tempoh bermulanya anak berasakan ‘Saya adalah saya’ dan mereka tidak lagi dibayangi ibu bapa, malah ingin bergerak sendiri dalam beberapa perkara. Ia juga mendorong mereka mengatakan apa yang hendak dikatakan dan ini sedikit sebanyak mendorong untuk berbohong,” katanya.

    Kata Nur Firduas, atas sebab itu setiap ibu bapa perlu membesarkan anak dengan sepenuh kasih sayang kerana mengasuh dengan konsep disiplin tentera (anak diselubungi perasaan takut) ada kalanya tidak sesuai dan hanya akan menyebabkan anak fokuskan kepada perbuatan ‘supaya tidak dimarah’ berbanding ‘supaya disayang’.

    Bermula usia lima tahun, sebahagian kanak-kanak mula membiasakan diri berbohong atas enam sebab berikut:

    1. Tekanan rakan
    2. Membina identiti
    3. Elak masalah
    4. Dapatkan perhatian
    5. Hendakkan sesuatu
    6. Peraturan terlalu ketat

    Tekanan rakan

    Sesetengah kanak-kanak mempunyai kawalan diri yang rendah. Apabila melihat kawan lain membawa duit belanja RM5 dan RM10, mereka juga ingin merasainya. Mencuri adalah jalan terpantas bagi sebahagian kanak-kanak.

    Membina identiti

    Kanak-kanak mempunyai sifat bersaing yang tinggi. Apabila bercerita bersama kawan, masing-masing selalunya ada ‘cerita hebat’ yang mahu dikongsikan. Keadaan ‘semua orang ada itu ini’ memberi satu tekanan kepada sesetengah kanak-kanak, lantas mendorong untuk mencipta satu cerita hebat yang akhirnya menyebabkan mereka berbohong.

    Elak masalah

    Kanak-kanak sudah boleh menjangka mereka akan dimarahi selepas melakukan kesilapan. Berbohong adalah jalan keluar termudah bagi menyelamatkan diri.

    Dapatkan perhatian

    Kadangkala kanak-kanak berbohong untuk mendapatkan perhatian. Antara kes yang biasa ditemui adalah anak yang menambah-nambah cerita mengenai dimarah atau dirotan oleh guru. Apabila si guru berjumpa sendiri dengan ibu bapa, perkara itu tidak berlaku. Ada kanak-kanak yang berbohong supaya ibu bapanya membela dan lebih mengambil berat terhadapnya.

    Hendakkan sesuatu

    Sebahagian kanak-kanak menjadikan berbohong sebagai jalan mudah untuk mendapatkan sesuatu. Mereka tahu tidak mudah untuk ibu bapa memberikan RM20 bagi membeli mainan yang disukai di kedai runcit sebelah sekolah. Maka mereka memberitahu ibu bapa guru kelas meminta wang untuk program di sekolah.

    Peraturan terlalu ketat

    Peraturan adalah sesuatu yang wajib ada di setiap rumah. Ia penting untuk memastikan setiap ahli rumah ada kefahaman yang sama mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh di rumah mereka.

    Sebagai contoh, jika dikuatkuasakan peraturan waktu menonton televisyen adalah daripada jam 9 malam hingga 10.30 malam saja setiap hari, masing-masing akan dapat menjalankan tugas dan menikmati masa berkeluarga.

    Jika tidak, seorang tidur, seorang masih menonton pada jam 11 malam, seorang lagi pandai-pandai membuka televisyen sendiri dan sebagainya. Namun, ia perlu dijalankan secara autoritatif. Konsepnya adalah ‘urus atau kawal anak dengan kasih sayang’.

    Jika rasa terkongkong, anak-anak akan mencari jalan keluar sendiri. Bayi perlu dilayan sebagai bayi, kanak-kanak sebagai kanak-kanak dan remaja sebagai remaja. Menurut Nur Firdaus, satu perkara penting yang perlu difahami, berbohong adalah sesuatu yang dipelajari dan ia bukan lahir secara semula jadi.

    Sama ada sedar atau tidak, ibu bapalah yang mengajar anak-anak berbohong. “Ketika usia anak berjalan jatuh, anak datang meminta air ketika kita sedang minum air dan kita menjawab, ‘nanti sekejap, papa ambil’ namun sehingga beberapa jam air itu tidak juga diberikan kepada anak. 

    “Keesokan harinya begitu juga, anak meminta kek untuk dimakan. Ibu atau bapa menjawab ia tiada dan berjanji untuk membeli petang nanti menyebabkan mereka setia menunggu dan mengharap, tetapi kesudahannya ibu bapa tidak juga membelikannya. Tanpa sedar, ibu bapa yang mengajar anak berbohong” katanya.

    Cara menangani

    Ibu bapa perlu menghadapi situasi ini dengan bijak dan berhemah. Mereka tidak boleh terus memarahi dan memberi amaran keras supaya anak tidak mengulanginya. Nur Firdaus berkata, tersalah langkah boleh mendorong anak menjadi penipu yang lebih licik. Berikut adalah panduan untuk ibu bapa menangani perkara ini:

    1. Mesti ada peraturan di setiap rumah. Anak-anak perlu tahu apa yang boleh dan tidak boleh dibuat. Antara punca anak mengulangi kesalahan yang sama ialah mereka tidak tahu ia sesuatu yang salah sebelum melakukannya.

    2. Tetapkan had dan batasan. Kanak-kanak perlu tahu sampai mana boleh dan tidak boleh. Bermain boleh tetapi hingga jam berapa contohnya atau di lokasi yang ditetapkan saja. Sudah terlambat jika kita hendak perbetulkan perkara yang sudah menjadi tabiat mereka, dan di situlah bermula pembohongan demi pembohongan.

    3. Beritahu kita tidak suka. Selepas kita mendapati mereka berbohong, terus beritahu bahawa ia sesuatu yang salah, dan kita tidak menyukainya. Antara ayat terbaik adalah, ‘Ibu tidak suka orang cakap bohong, semua orang pun tidak suka. Ibu nak semua orang sayangkan adik, jadi adik jangan buat lagi ye.

    Nanti ramai orang tak suka adik’. Ibu bapa juga tidak boleh marah sekiranya anak bercakap benar. Maafkan kesalahan anak, terangkan mengenai kesalahannya supaya dia faham dan berjanji untuk tidak mengulanginya. Amat penting untuk memberitahunya tindakan yang sepatutnya dilakukan.

    4. Kenal pasti dan bantu. Bukan setakat memberitahu tidak suka saja, kita juga perlu mengetahui mengapa mereka berbohong ketika itu. Kanak-kanak boleh dirasionalkan. Sebagai contoh, anak mencuri RM10 untuk membeli sekotak pen magik di sekolah. Dengarlah suara hati dan keinginan mereka, kemudian rasionalkan. Jika ia baik dan tidak mahal, apa salahnya dibelikan.

    5. Jangan bohongi mereka (anak) dan jangan tunjukkan kita juga pembohong. Mereka akan rasa selesa nanti.

    6. Ajar anak mengenai nilai kejujuran. Selepas selesai memasukkan barangan ke dalam kereta di pusat beli-belah, ajak anak untuk sama-sama meletakkan kembali troli di tempatnya. Mereka tidak akan terfikir persoalan ‘Ada orang nampak tak? di dalam kehidupan mereka.

    7. Jaga kualiti hubungan dengan anak. Dalam beberapa keadaan, tabiat berbohong adalah simptom kekurangan perhatian dan kasih sayang.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Bohong Si Kecil Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top