My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday 9 August 2017

    Dorong Belia Aktif Bangunkan Negara


    Bilangan belia di Malaysia berumur 18 hingga 29 tahun dianggarkan sembilan juta orang. Jumlah itu mendorong organisasi bukan kerajaan dan tidak berasaskan keuntungan ini mengambil inisiatif mengembangkan potensi belia tempatan. 

    AIESEC Malaysia adalah sebahagian daripada pertubuhan antarabangsa diberi nama AIESEC dengan objektif utama mencipta keamanan sejagat dan memanfaat potensi golongan muda. AIESEC adalah akronim bagi ‘Association Internationale des …tudiants en Sciences …conomiques et Commerciales’, namun ia tidak lagi menjadi akronim dan ditukar kepada kata nama khas.

    Pertubuhan antarabangsa diasaskan tiga individu iaitu Jean Choplin (Perancis), Bengt Sjostrand (Sweeden), and Dr. Albert Kaltenthaler (Jerman) itu bermula pada 1948 di tujuh negara Eropah. Kini, ia sudah melebarkan sayap di lebih 120 negara termasuk Malaysia dengan membolehkan pembangunan kepemimpinan menerusi pengalaman praktikal dalam persekitaran mencabar dan silang budaya.

    Mengambil peranan AIESEC antarabangsa, AIESEC Malaysia turut seiring mencapai keamanan dan mempromosikan pembangunan kepemimpinan dalam kalangan belia. Pertubuhan yang dikendalikan golongan muda itu menumpukan isu dunia, kepemimpinan dan pengurusan tanpa mengira etnik, jantina, orientasi, agama serta kewarganegaraan.

    Presiden AIESEC Malaysia John Lau Chun Kuang, 25, berkata, teras utama organisasi itu adalah berusaha dan mendorong belia untuk aktif dalam membangunkan negara yang harmoni dan bersatu-padu.

    “Pelbagai program yang kami ketengahkan bagi membantu golongan muda tempatan aktif mengembangkan potensi kepemimpinan melalui beberapa program yang ditawarkan. Kami menawarkan program sukarelawan dan latihan industri profesional selain memfokuskan pada pembangunan kepemimpinan belia.

    “Melalui program yang dijalankan kami menerapkan empat elemen kepemimpinan iaitu kerakyatan global, memperkasa individu lain, kesedaran diri dan berorientasikan penyelesaian,” katanya yang juga lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari Universiti Teknologi Malaysia.

    Bagi John, menggalas jawatan sebagai teraju AIESEC Malaysia mendorongnya untuk sentiasa menyusun strategi dalam memastikan setiap belia di Malaysia membabitkan diri secara aktif dalam membina negara bersatu-padu.

    “Program teras yang diketengahkan AIESEC Malaysia adalah Sukarelawan Global, Bakat Global, Sukarelawan Tempatan dan Pembabitan Kampus. Sukarelawan Global mengajak anak muda meninjau dunia dengan melihat budaya baru sambil menjalani aktiviti sukarela di luar negara selama enam hingga lapan minggu.

    “Bakat Global pula membantu golongan muda meningkatkan kemahiran profesional melalui latihan dalam suasana kerja antarabangsa yang mencabar sehingga setahun enam bulan,” katanya.

    Program Sukarelawan Tempatan pula mengajak belia mencipta impak menerusi projek sukarela tempatan sambil bekerja dengan ahli antarabangsa. Katanya, AIESEC Malaysia turut membuka mata golongan meneroka potensi diri, rangkaian sepanjang hayat dan memberi impak pada dunia.

    John turut berkongsi pengalamannya turut serta dalam program Sukarelawan Global di Nanao Natural Farm, Taiwan. “Program berkenaan berlangsung selama enam minggu bermula Julai hingga Ogos 2012 dan sepanjang berada di sana saya belajar mengenai pertanian organik dan budaya peribumi di Taiwan.

    “Saya turut membantu petani menterjemah nama produk daripada bahasa Mandarin ke Inggeris supaya ia mudah dipasarkan secara meluas. Pada waktu lapang, saya mengambil kesempatan mengajar anak petani tempatan membaca dalam bahasa Inggeris asas,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Dorong Belia Aktif Bangunkan Negara Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top