Pameran anjuran Japan Automobile Manufacturers Association, Inc. (JAMA) bertemakan ‘BEYOND THE MOTOR’ dibuka kepada media pada 25 dan 26 Oktober, manakala kepada umum selama 10 hari dari 27 Oktober hingga 5 November depan. Tema itu dipilih bagi mempamerkan pelbagai konsep dan teknologi dalam industri automotif merangkumi spektrum yang lebih meluas.
Kebanyakan syarikat automotif terkemuka dari Jepun seperti Honda, Mitsubishi, Nissan, Daihatsu, Subaru, Mazda dan Toyota memperkenalkan model terbaru memberi fokus kepada kenderaan masa depan yang digerakkan oleh kuasa elektrik.
Honda misalnya bakal membangunkan jentera elektrik masa depan dikenali sebagai Sports EV dan menariknya, model berkenaan akan berada di jalan raya dalam tempoh tiga tahun lagi. Model masa depan menggunakan teknologi AI (Artificial Intelligence) itu buat pertama kalinya dipertontonkan kepada umum yang berlangsung minggu ini.
Presiden dan Wakil Pengarah Honda Motor Co Ltd, Takahiro Hachigo berkata, jentera elektrik termaju itu menggunakan platfrom kenderaan elektrik (EV) yang turut digunakan pada model konsep Urban EV. “Model coupe dua pintu ini menerapkan rekaan badan lebar dan lebih rendah yang secara tidak langsung menawarkan imej sporty.
“Kami yakin bentuknya akan menarik perhatian orang ramai, seterusnya menjadi peneraju kenderaan elektrik pada masa hadapan,” katanya. Takahiro berkata, Honda EV Sports adalah model kereta generasi baru menggabungkan prestasi elektrik dengan teknologi AI.
“Selain mesra alam, Sports EV juga dibangunkan untuk menawarkan pemanduan menyeronokkan dengan prestasi sport. Bumbung kaca pada jentera ini pula menyerlahkan lagi ciri futuristik dan gaya eksklusif,” katanya.
Bagaimanapun, tiada pendedahan lanjut spesifikasi penuh jentera masa hadapan ini tetapi Honda optimis model Urban EV berkenaan akan dilancarkan di pasaran Eropah pada 2020.
Sementara itu, Mitsubishi mempertontonkan model Mitsubishi e-Evoliton Concept iaitu sebuah model SUV konsep prestasi tinggi elektrik sepenuhnya. Model konsep ini menggunakan tiga motor elektrik dengan tork tinggi dan sistem baru Dual Motor Active Yaw Control (AYC).
Sistem berkenaan membekalkan fungsi torque-vectoring yang dikawal secara elektronik, dan jika digabungkan semuanya, ia akan membentuk satu sistem kawalan dinamik unik yang dinamakan Super All-Wheel Control (S-AWC).
Tidak ketinggalan, Subaru mempertaruhkan pertama kali model WRX STI S208 yang mana hanya 450 unit saja yang akan dikeluarkan khusus untuk pasaran Jepun sahaja. Dalam pada itu, Toyota memperkenalkan Lexus LS+ Concept yang menampilkan beberapa ciri pemanduan autonomous yang dijangka bakal diperkenalkan pada sedan termaju Lexus pada 2020.
Masih mengekalkan bentuk umum LS, versi konsep ini sebenarnya menampilkan wajah depan lebih agresif dengan dominasi rekaan lampu utama segitiga.
0 comments:
Post a Comment