My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 7 December 2017

    Denai Malam Di Muzium


    Muzium ialah bangunan yang menyimpan khazanah sejarah purba atau yang lama selain sarat dengan elemen kebudayaan. Fungsinya sangat penting sebagai tempat rujukan sekiranya ingin mengetahui sejarah lampau sesuatu perkara.

    Terdapat beberapa muzium di ibu kota seperti Muzium Negara, Muzium Diraja, Muzium Tekstil Negara dan Muzium Polis yang menjadi produk pelancongan di negara ini kerana tarikan tersendiri. Bagaimanapun, peluang meneroka muzium terbabit hanya boleh dilakukan ketika siang mengikut waktu operasinya.

    Program Denai Malam di Muzium (Museum Night Trail) yang diperkenalkan Jabatan Muzium Malaysia (JMM) membolehkan orang ramai merasai detik menakjubkan di muzium itu pada waktu malam.

    Penulis bersama jurugambar Aziah Azmee berpeluang menikmati pengalaman menyeronokkan selama tiga jam berada dalam muzium ketika pelancaran Denai Malam di Muzium, baru-baru ini. Program bermula di Muzium Tekstil Negara, kemudian lawatan diteruskan ke Muzium Diraja, Muzium Negara dan berakhir di Istana Satu.

    Pelancaran disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Yean Yoke Heng. Turut hadir, Ketua Pengarah JMM, Datuk Kamarul Baharin A Kasim, Timbalan Ketua Pengarah (Permuziuman) JMM, Mohd Azmi Mohd Yusof dan Presiden Persatuan Pelancongan Dalam Negeri Malaysia (MITA), Uzaidi Udanis.

    Yean berkata, untuk peringkat permulaan, program itu dilaksanakan pada minggu pertama dan ketiga November dan Disember ini iaitu sempena cuti persekolahan. Beliau berkata, program itu dalam satu pakej iaitu pengunjung boleh merasai pengalaman berbeza di setiap muzium.

    “Di Muzium Tekstil Negara, pengunjung dibawa melawat ke galeri terpilih dan menikmati pengalaman mencanting batik. “Muzium ini menjejak aliran dan perkembangan tekstil yang mempercirikan serta membentuk gaya masyarakat negara ini sejak zaman prasejarah hingga kini,” katanya.

    Katanya, lawatan ke Muzium Diraja pula memberi peluang kepada pengunjung menerokai kehidupan di istana dan mempelajari sejarah raja di negara ini selain dijamu hidangan istana tradisi. “Malah, muzium ini (Muzium Diraja) dulunya adalah Istana Negara lama iaitu kediaman rasmi Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dari 1957 hingga 2011.

    “Bangunan ini diubah suai untuk dijadikan muzium dan mula dibuka kepada orang ramai pada 1 Februari 2013. “Penubuhan Muzium Diraja bertujuan memartabatkan Institusi Raja Berperlembagaan di Malaysia melalui perkongsian maklumat mengenai peranan institusi berkenaan dan fungsi bangunan itu sendiri,” katanya.

    Yean berkata, pengunjung akan diberikan perkongsian berkenaan sejarah Malaysia apabila melawat ke Muzium Negara. “Destinasi terakhir ialah di Istana Satu di mana pengunjung berpeluang mencuba batik sarung dan mempelajari kaedah tradisi dalam penyediaan bahan masakan berasaskan menu tradisional.

    “Selain itu, pengunjung juga dapat menyaksikan persembahan kebudayaan tradisi yang sangat jarang diadakan di kota metropolitan ini,” katanya. Katanya, penganjuran program berkenaan sebagai usaha memartabatkan sejarah, budaya dan warisan masyarakat negara ini yang berbilang kaum di bawah satu bumbung.

    “Ia dianggap sebagai satu inisiatif luar biasa yang sangat baik dan berpotensi untuk menarik lebih ramai pengunjung datang ke muzium ketika malam dengan lebih santai,” katanya.

    Dalam pada itu beliau berkata, idea penganjuran program berkenaan tercetus susulan kejayaan program Bermalam di Muzium yang dipelopori Muzium Negara sejak 2005. “Program ini (Bermalam di Muzium) mendapat sambutan baik daripada orang ramai hingga dijadikan acara tahunan JMM. 

    “Kami terima banyak saranan daripada orang ramai supaya program Bermalam di Muzium dapat diperluaskan,” katanya. Selain itu katanya, program Denai Malam di Muzium dipercayai dapat memberi impak kepada industri permuziuman dengan menyebarluaskan fungsi dan peranan muzium. 

    Katanya, khususnya dalam memperkenalkan sejarah dan kebudayaan negara kepada pelancong selain keupayaannya membantu merancakkan lagi industri pelancongan negara. “Kami menjangkakan pasca 2020, sektor pelancongan dan kebudayaan akan menjadi sumber utama pendapatan negara.

    “Ketika itu, kami mengharapkan negara dikenali sebagai destinasi pelancongan dan kebudayaan bertaraf dunia yang berjaya mengekalkan jati diri bangsa berteraskan seni, budaya dan warisan negara,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Denai Malam Di Muzium Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top