Malaysia tumpas 1-4 kepada China pada perlawanan terakhir Kumpulan A di Kejohanan Berpasukan Asia (kelayakan Piala Uber) namun tumpuan paling utama aksi semalam ialah perseorangan kedua, Goh Jin Wei (gambar) yang mengejutkan pemain nombor 11 dunia, Sun Yu.
Kemenangan itu sedikit sebanyak boleh melupakan kekalahan ketika Malaysia sudah melayakkan diri ke suku akhir selepas mengalahkan Hong Kong 3-2 pada aksi pertama Selasa lalu. Menurut Jin Wei, walaupun Sun Yu mempunyai ranking lebih tinggi, dia tidak berasa takut dan cuba untuk menimba pengalaman dalam perlawanan berkenaan.
“Sebelum ini saya ada tengok video mengenai aksinya, tapi permainannya hari ini (semalam) berbeza kerana lebih banyak bermain secara selamat. Saya pula memang sangat bersemangat dan mencari segala peluang yang terhidang untuk melakukan serangan,” katanya semalam.
Pemain berusia 16 tahun itu berkata, kemenangan ke atas juara Siri Super Terbuka Singapura 2015 itu setidak-tidaknya menaikkan martabat skuad wanita bahawa mereka juga mampu melakukan kejutan.

Sementara itu, skuad Malaysia untuk kelayakan Piala Thomas juga turut tewas kepada juara bertahan, Jepun, juga dengan keputusan 1-4. Satu-satunya mata negara berjaya dikutip oleh Ketua Pasukan Negara, Iskandar Zulkarnain yang menewaskan Takuma Ueda dengan keputusan 13 - 21, 21 - 14 dan 21 - 17.
Kecemerlangan Iskandar ini nyata gagal diikuti oleh rakan sepasukannya yang lain sehingga menyaksikan akhirnya Malaysia terpaksa akur kepada kehebatan Jepun. Sedikit melegakan apabila Malaysia sudahpun melayakkan diri keperingkat Suku Akhir. Lawan yang akan ditentang Malaysia hanya akan diketahui sebaik sahaja satu lagi kumpulan menamatkan aksi mereka hari ini.
0 comments:
Post a Comment