My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday 24 February 2016

    New Delhi Parah Hadapi Krisis Air



    Krisis air di ibu kota India, New Delhi akan mengambil masa lebih dua minggu untuk pulih, menurut amaran pihak berkuasa semalam selepas bekalan air terputus sejak beberapa hari lalu. Masalah itu berpunca daripada tindakan penunjuk perasaan mensabotaj sebuah terusan utama kerana menuntut kasta mereka diberi layanan yang lebih baik. 

    Kasta Jat menamatkan tunjuk perasaan kelmarin selepas kerajaan negeri Haryana, utara India bersetuju untuk memenuhi tuntutan mereka susulan rusuhan beberapa hari yang memaksa beribu-ribu askar dikerah untuk mengembalikan ketenteraman.

    Walaupun protes itu sudah berakhir, Lembaga Air New Delhi masih bergelut untuk memulihkan bekalan air kepada 17 juta warga kotanya. Sumber air New Delhi banyak bergantung kepada sebuah terusan yang melintasi negeri Haryana. Pegawai kanannya, Neeraj Semwal berkata, hanya empat daripada sembilan loji rawatan air di kota raya itu beroperasi sekali gus memaksa catuan air dilakukan di banyak kawasan di New Delhi.

    “Kami berharap sebahagian perkhidmatan akan pulih dua atau tiga hari lagi dengan 100 peratus bekalan air akan diperoleh dalam tempoh 15 hari.

    “Daerah di utara, barat dan selatan New Delhi terjejas teruk akibat kekurangan air dengan beribu-ribu isi rumah tidak mendapat bekalan seperti biasa,” kata Semwal.

    Menteri Air New Delhi, Kapil Mishra menyatakan di laman Twitter bahawa krisis air belum berakhir dan menggesa penduduk supaya menyimpan air. Seorang bekas wartawan, K. Jagannadha Rao berkata, dia dan beberapa jirannya bergegas untuk mengisi air di dalam baldi dan tong yang mereka bawa selepas menunggu selama 24 jam untuk lori tangki tiba.

    “Kami mengalami masalah bekalan air paip sejak tiga hari lalu. Terdapat 110 buah flat di kejiranan kami dan semua orang berdepan masalah ini,” kata lelaki berusia 73 tahun itu. Menurut media tempatan, sekitar 1.5 bilion liter air diproses selepas tunjuk perasaan itu berbanding bekalan harian sebanyak 3.1 bilion liter.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: New Delhi Parah Hadapi Krisis Air Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top