Tema tradisional Melayu menjadi pilihan pasangan penyanyi kelahiran program Akademi Fantasia, Akim, 25, dan Stacy, 26, pada majlis resepsi mereka di Dewan Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB), Sabtu lalu. Majlis yang berlangsung dalam suasana romantis itu dihadiri lebih 500 tetamu terdiri daripada keluarga, sanak-saudara, kenalan, rakan artis dan tetamu kehormat.
Pasangan mempelai yang selamat diijabkabulkan pada 5 Februari lalu itu kelihatan bagaikan pinang dibelah dua menerusi busana songket berwarna coklat rekaan Raffiey Nasir. Mereka tiba di pekarangan dewan pada jam 8.45 malam diringi motosikal berkuasa tinggi.

Tetamu dihiburkan dengan nyanyian dua anak didik Akim dalam Program Mentor Millenia iaitu Han dengan lagu I’m Yours diikuti I Will Always Love You oleh Ebba. Majlis diteruskan lagi dengan tayangan video di layar gergasi yang memaparkan luahan Akim dan Stacy terhadap satu sama lain dan perkongsian kisah menarik sepanjang perkenalan mereka sehingga disatukan di jenjang pelamin.
Sebagai selingan, tetamu dihiburkan dengan persembahan tarian zapin lagu Kurik Kundi dan joget lambak daripada kumpulan penari sebelum kedua-dua mempelai dibawa ke pentas untuk bersanding. Penyanyi rock tersohor, Amy Search yang hadir bersama isterinya, Nourish Hassan turut membuat kejutan apabila tampil berduet dengan bapa Akim, Ahmad yang juga rakan baiknya ketika di bangku sekolah.
Nyanyian duet mereka menerusi lagu Isabella ternyata menggamatkan suasana dewan yang indah dengan sentuhan dekorasi berwarna putih. Pengacara majlis, Farish Aziz mengundang kedua-dua mempelai menyempurnakan acara memotong kek.

Meskipun tidak menghafal lirik dan sinonim dengan irama rancak, Stacy tetap menyahut cabaran Akim menyanyikan lagu nyanyian asal Tan Sri SM Salim itu. Sebagai kemuncak acara, Akim dan Stacy selaku tuan rumah menyampaikan cenderahati kepada rakan penaja yang hadir sebagai tanda penghargaan serta mengabadikan kenangan hari bahagia mereka dengan bergambar bersama keluarga dan tetamu.
Antara rakan artis yang hadir, Tomok, Black, Amy Search, Datin Alyah, Dafi, Ika Nabila, Lufya, Anita Baharom, Atu Zero dan ahli kumpulan Akim & The Majistret. Tetamu kehormat yang hadir pula adalah Ketua Polis Johor, Datuk Wan Najmuddin.
Mohd. Akim atau nama sebenarnya, Afiq Hakim Ahmad sah menjadi suami kepada Ummu Syaikhah Stacy Anam di Hotel Shangri La Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah pada 5 Februari lalu dengan dua kali lafaz. Pasangan itu dinikahkan Jurunikah Jabatan Agama Negeri Sabah (JAIS), Tuan Haji Matlin Dimin berwakilwali abang Stacy, Mohd Adam Hakimi Anam. Majlis persandingan mereka diadakan pada sebelah malamnya mengikut adat Sabah.
0 comments:
Post a Comment