My Blog List

Translate

  • PANAS

    Saturday 27 February 2016

    Majlis Hari Jadi Ala Kampung


    Setiap tahun kelab peminat pelakon jelita, Erra Fazira iaitu Bersama Erra akan menganjurkan majlis hari jadi untuk bintang pujaan mereka itu, tetapi sedikit berbeza tahun ini apabila tugas terbabit diambil alih Erra sendiri. 

    Bagi mencipta kelainan, Erra bersama pembantu peribadi dan kakak angkatnya merancang aktiviti Jom Lepak Lenjan Bersama Erra pada hujung minggu lalu di Kem Rimba Kiara, Taman Tun Dr Ismail.

    Disertai 40 peminat bertuah, program itu menjadi landasan terbaik untuk bekas ratu cantik ini mendekati peminat yang menyokong kerjaya seninya selama ini. Berkonsepkan ala kampung, acara dimeriahkan dengan sukaneka rakyat seperti tarik tali, lari dalam guni, lari ikat kaki, tarik bola dengan gelung dan lari sambil bermain tali skiping.

    Sementara itu untuk jamuan pula, konsep potluck diketengahkan apabila setiap peserta diwajibkan membawa satu menu. “Saya sengaja memilih aktiviti sebegini kerana mahu menjadi diri sendiri. Saya juga macam orang lain yang boleh tampil sederhana dan bukannya nak bergaya cantik 24 jam.

    “Mereka yang tidak mengenali saya pasti beranggapan saya suka melawa. Peminat sudah tahu perangai saya dan bukan satu kejutan apabila saya tampil ringkas dan melakukan semua aktiviti yang sudah diatur,” katanya.

    Mengenai program itu, semua peserta dibahagikan kepada empat kumpulan. Erra tidak terkecuali turut serta dengan mewakili Kumpulan Merah yang terdiri daripada rakan media dan jurusolek. Pemenang setiap acara dinilai berdasarkan kepantasan menyelesaikan setiap permainan. Markah setiap permainan kemudian dikumpul bagi menentukan juara keseluruhan.

    Kumpulan Erra sekadar berada di tempat ketiga manakala Juara dan tempat kedua disandang Kumpulan Biru dan Hitam. Erra berkata, sepanjang 16 tahun penubuhan kelab peminatnya itu, dia terharu apabila ahli kelab peminatnya tidak pernah mendesak untuknya menyertai setiap aktiviti yang dianjurkan.

    “Selain majlis hari jadi saya, kami selalu mengadakan sambutan hari raya bersama. Malah, mereka juga secara sukarela mengadakan aktiviti lain walaupun tanpa kehadiran saya. “Mereka sangat memahami jadual kerja saya. Jika ada kelapangan, saya pasti turut serta. Pendek kata, mereka sangat bersungguh-sungguh,” katanya.

    Program seumpama ini bukan kali pertama diadakan kerana setiap tahun peminatnya pasti mengadakan sambutan hari jadi Erra. Sebelum ini, mereka pernah menganjurkan majlis bertemakan baju tidur di atas kapal persiaran, kembali ke sekolah, merah jambu dan banyak lagi.

    “Kelab peminat ini pernah tidak aktif selama lima tahun. Namun sepanjang tempoh itu mereka ada mengadakan aktiviti sesama mereka tanpa pembabitan saya.

    “Melihatkan kesungguhan mereka, saya kembali bersemangat untuk bersama mereka. Walaupun aktiviti diadakan setahun sekali, ia sudah memadai,” katanya. Jelas bintang serba boleh itu, Bersama Erra akan mengadakan lebih banyak aktiviti menarik pada masa akan datang.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Majlis Hari Jadi Ala Kampung Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top