My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday 24 February 2016

    Bukit Kepong, Sejarah Yang Tidak Akan Dilupakan



    Masih ingat tentang peristiwa gugurnya pasukan polis negara ini sewaktu menentang kominis di Bukit Kepong, Muar Johor? Jika disebut tentang peristiwa ini, pastinya ingatan kita akan terarah kepada sebuah filem yang di arahkan oleh Tan Sri Jins Shamsudin dengan menggunakan tajuk yang sama.

    Kesan tragis akibat peristiwa ini sebenarnya masih dikenang sehingga hari ini. Sebenarnya peristiwa Balai Polis Bukit Kepong adalah kejadian serangan komunis semasa keadaan darurat di Persekutuan Tanah Melayu selepas Perang Dunia II. Dalam kejadian tersebut, balai polis Bukit Kepong diserang oleh segerombolan 180 orang komunis bermula sekitar jam 5.00 pagi pada 23 Februari 1950.

    Dalam kejadian tersebut, sekitar 25 orang anggota polis berjuang habis-habisan sehingga seorang demi seorang gugur. Dua orang isteri anggota polis marin turut mengangkat senjata apabila mendapati suami mereka terkorban dan mereka terus bertempur bersama anggota-anggota lain sehingga kehabisan peluru. Inilah yang berlaku pada waktu itu.

    Kejadian Bukit Kepong adalah pertempuran bersenjata yang bersejarah sebelum kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957. Pertempuran ini berlaku di kawasan sekeliling balai polis Bukit Kepong di Bukit Kepong dimana ianya dibina daripada kayu dan terletak ditebing sungai Muar, sekitar 59 km dari bandar Muar, Johor.

    Kejadian ini bermula sebelum subuh apabila pihak Komunis melancarkan serangan gerila ke balai polis. Ia berakhir dengan tragik dalam penyembelihan berdarah dengan penyerang membunuh hampir kesemua pegawai polis yang bertugas di situ.

    Pihak komunis hendak menjadikan contoh dari serangan itu tentang apa yang akan terjadi kepada mereka yang menentang perjuangan Komunis. Apabila mereka memulakan pengepongan, pihak penyerang percaya bahawa mereka akan dapat mengalahkan polis dan mengawal stesen polis tersebut dalam tempoh yang singkat.

    Ini disebabkan beberapa faktor yang menyebelahi mereka antaranya kelebihan senjata dan jumlah keanggotaan dan juga keadaan balai polis yang jauh terpencil dari bandar. Ketika itu balai polis itu diketuai oleh Ketua Polis Balai (KPB) Sarjan Ray Dancey. Ketika serangan ke atas balai tersebut, beliau telah lama ditukarkan dan jawatannya diambil alih oleh Sarjan Jamil Mohd Shah.

    Disitu di tempatkan 15 anggota polis Tugas Am dan Konstabel Polis Marin dibawah pimpinan Sarjan Jamil sendiri. Pasukan ini turut diperkukuhkan oleh tiga konstabal polis khas dan empat Polis Tambahan bagi tugas mengawal dan lain-lain, yang menjadikan 22 orang anggota kesemuanya.

    Tiga belas isteri dan anak-anak anggota tinggal di berek kelamin di sebelah belakang Balai. Sistem perhubungan yang sukar adalah sebab utama penempatan pasukan polis marin di situ malah, pengangkutan utama ke Bukit Kepong adalah dengan menaiki bot menyusuri Sungai Muar.

    Serangan Kominis

    Menurut saksi, terdapat sekitar 200 orang pengganas komunis daripada Kompeni Bebas ke-4 yang menyerang balai polis ini mereka diketuai oleh Muhammad Indera, seorang Komunis Melayu yang memimpin 2 platun komunis Melayu didalam PKM.

    Menurut rancangan asal, Muhammad Indera dimaklumkan bahawa serangan itu hanya sebagai amaran sahaja, namun serangan yang turut disertai Komisar Goh Peng Tun itu bertukar menjadi tragedi buruk.

    Pihak komunis mengepung Balai Polis dengan separuh di bahagian hadapan, bakinya mengelilingi balai polis tersebut. Pertempuran bermula sekitar 4.15 pagi apabila Mata-Mata Jaffar bin Hassan mencabar dan menembak mati seorang pengganas komunis yang sedang memotong kawat berduri balai tersebut.

    Pihak komunis kemudiannya menyerang dari segenap sudut, terutamanya dari bahagian hadapan. Mereka berharap serangan ini mengejutkan pihak polis tetapi kini berhadapan dengan tentangan hebat anggota-anggota polis tersebut, terutamanya daripada dua kedudukan Bren Gun yang terletak di dalam kubu di bawah bilik kawalan.

    Sungguhpun dengan kekuatan anggota yang sedikit, pihak polis yang diketuai oleh Sgt Jamil Mohd Shah, enggan menyerah, walaupun berkali-kali diseru oleh komunis agar mereka menyerah. Satu persatu anggota gugur apabila pertempuran berterusan dan dua orang isteri polis yang bertahan turut serta berjuang apabila mendapati suami mereka terkorban semasa pertempuran.

    Sekitar jam 5 pagi, sepasukan Polis Bantuan beserta sekumpulan penduduk kampung yang lengkap bersenjatakan raifal dan shotgun digerakkan dari Kampong Jawa di bawah pimpinan Penghulu Ali bin Mustaffa, dan bergerak untuk memberi bantuan.

    Namun begitu, mereka telah diserang hendap oleh komunis yang ditugaskan untuk menghalang sebarang bantuan dari luar. Dalam serang hendap berkenaan, beberapa orang kampung serta pihak komunis juga turut terkorban dalam pertempuran dikawasan itu. Sekitar masa ini, kedua-dua kedudukan Bren Gun turut dimusnahkan komunis.

    Sekitar pukul 7 pagi, pihak komunis telah berjaya menawan seorang isteri polis Mariam Ibrahim, isteri kepada Mata-Mata Mohamad Jaafar. Dikhabarkan, ketua kumpulan komunis, Mat Indera memaksa Mariam merayu agar pihak polis menyerah tetapi tidak diendahkan oleh Sarjan Jamil sendiri.

    Pada masa inilah, Fatimah Yaaba dan anaknya Hassan turut ditawan dan dipaksa menyeru pihak polis menyerah. Mereka yang bertahan enggan berbuat demikian dan terus berjuang habis-habisan. Apabila mereka enggan menyerah, Mariam dicederakan dan Fatimah dibunuh.

    Suami Fatimah, Mata-Mata Abu Bakar Daud yang bertugas sebagai pemandu bot di sungai Muar, turut berjuang menentang pihak komunis sehingga cedera setelah ditembak di dada dan tangan, ketika mempertahankan botnya.

    Dalam detik terakhir pertempuran hebat itu, komunis membakar berek kelamin dan balai polis. Dua wanita bersama anak-anak mereka terbakar hidup-hidup dalam berek kelamin berkenaan. Pada ketika itu hanya 3 orang anggota polis dan seorang pengawal kampung yang masih hidup.

    Berang dengan tindakan kejam komunis ini, mereka nekad meluru keluar dari balai yang terbakar dan merempuh kedudukan komunis, membunuh sekurang-kurangnya tiga dari kumpulan pengganas yang cuba menghalang mereka. Pihak komunis terus menembak mereka yang cuba lari daripada balai polis yang sedang terbakar itu.

    Pada masa yang sama, penduduk kampung Durian Chondong disebelah barat menghantar bot ke Lenga untuk memberitahu pihak berkuasa mengenai serangan ini. Hanya selepas lima jam bertempur, baru pihak komunis berjaya menawan balai polis dan membakar balai tersebut. Mereka kemudian berundur kedalam hutan, meninggalkan kesan kemusnahan dan kematian.

    Pihak komunis turut melontar mereka yang tercedera dan mayat mereka yang terkorban ke dalam api. Antaranya termasuk Hassan bin Abu Bakar anak kepada Mata-Mata Abu Bakar yang dicampak hidup-hidup kedalam api.

    Empat belas anggota polis termasuk Sarjan Jamil, 4 pengawal kampung, 3 polis bantuan, isteri Abu Bakar Daud dan tiga anak mereka terbunuh dalam kejadian tersebut. Jumlah kematian adalah 25 orang. Mereka yang terselamat pertempuran maut itu adalah 4 anggota polis dan 9 ahli keluarga termasuk isteri dan anak mereka.

    Berikut merupakan senarai lengkap mereka yang telah terkorban dalam peristiwa paling menyayat hati ini.

    Anggota Balai Bukit Kepong

    1. Sarjan 2493 Jamil bin Mohd Shah (Ketua Balai Bukit Kepong)
    2. Koperal 7068 Mohd Yassin bin Haji Wahab (Timbalan Ketua Balai Bukit Kepong)
    3. Lans Koperal 7186 Jidin bin Omar
    4. Mata-Mata 9136 Hassan bin Osman
    5. Mata-Mata 3933 Hamzah bin Ahmad
    6. Mata-Mata 8600 Jaafar bin Hassan
    7. Mata-Mata 7493 Muhamad bin Jaafar
    8. Mata-Mata 5674 Abu bin Mohd Ali
    9. Mata-Mata 7862 Abu Kadir Jusoh
    10. Mata-Mata Marin 60 Ibrahim bin Adam
    11. Mata-Mata Marin 68 Awang bin Ali
    12. Mata-Mata Marin 181 Basiron bin Adam
    13. Mata-Mata Tambahan 3475 Mohd Top bin Lazim
    14. Mata-Mata Tambahan 3795 Jaafar bin Arshad

    Polis Bantuan / Auxiliary Police 

    1. Ins. Kudarina Naknok
    2. AP 2130 Samad bin Yatim
    3. AP 1912 Mahmud bin Sa'at
    4. AP 1925 Ali bin Akob
    5. AP 2127 Othman Yahya

    Anggota Keluarga Anggota yang turut terkorban

    1. Fatimah binti Yaaba - isteri Mata-Mata Marin 37 Abu Bakar bin Daud
    2. Hassan bin Abu Bakar - anak Mata-Mata Marin 37 Abu Bakar bin Daud
    3. Saadiah - isteri Mata-Mata 5674 Abu bin Mohd Ali
    4. Simah binti Abu - anak Mata-Mata 5674 Abu bin Mohd Ali
    5. Arafah binti Yusoff - isteri Mata-Mata Marin 60 Ibrahim bin Adam

    Anggota Polis Bantuan (AP) dan Pengawal Kampung yang terkorban dalam pertempuran diluar balai

    1. AP 2098 Redzuan bin Alias
    2. Embong bin Lazim
    3. Mendiang Koh Ah Cheng

    Al Fatehah diucapkan kepada semua perwira dan wirawati negara. Sesungguhnya syahid telah menanti kalian dan atas jasa kalianlah, seluruh negara kini mengenali, siapakah pengganas komunis yang sebenarnya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Bukit Kepong, Sejarah Yang Tidak Akan Dilupakan Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top