My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday 24 February 2016

    Bukan Nak Kejar Glamor


    Bermula dengan Pencarian Hero Remaja 2011/2012, pendatang baru Hafidz Roshdi terus mencuba nasib dalam bidang lakonan. Bersandarkan bakat dan paras rupa yang kacak, Hafidz terus ditawarkan berlakon watak pembantu dalam drama Baby Ana Milik Siapa yang bersiaran di TV3 tidak lama dulu.

    Selepas berlakon dalam drama itu, tawaran berlakon terus mencurah buat anak kelahiran Shah Alam, Selangor ini. Antara drama lakonannya ialah Solihin yang bersiaran di TV2, Telemovie Hajah Heathrow (TV9), Pengancam Perkahwinan (Astro Ria) dan Kau, Aku, Kita (TV3).

    Bagi pemilik nama sebenar, Muhammad Hafidz Roshdi, 22, dia berlakon kerana minat mendalam dalam bidang lakonan dan bukan mengejar glamor semata-mata.

    “Saya juga percaya soal glamor dan populariti akan datang seiringan dengan bakat. Sebab itu, saya tidak kisah jika nama lambat menyerlah berbanding rakan seperjuangan lain iaitu pelakon meningkat naik, Syarul Ridzwan dan Fattah Amin yang terlebih dulu mencipta nama dalam bidang lakonan,” katanya.

    Terbaru, Hafidz ditawarkan beraksi watak hero dalam drama bersiri rantaian 30 episod, Tundukkan Playboy Itu yang bersiaran setiap isnin hingga khamis jam 6.58 petang di Slot Akasia TV3 bermula 17 Februari lalu.

    Dalam drama yang juga adaptasi daripada novel nukilan Anjell itu, Hafidz bergandingan dengan Uqasha Senrose selaku teraju utamanya.

    “Saya anggap peluang berlakon dalam drama ini sebagai rezeki dalam bidang lakonan. Saya juga tertarik dengan watak Harraz Naufal yang juga hero dalam drama bersiri ini kerana ia memiliki cabaran tersendiri.

    “Harraz, anak orang kaya yang suka berfoya-foya, playboy dan melihat wanita sebagai barang mainan. Namun, semuanya berubah apabila dia bertemu Nurin Arissa (lakonan Uqasha Senrose) yang bagaikan membuka pintu hatinya.

    “Pada masa sama, Harraz juga terpikat dengan seorang wanita misteri dan model yang mengenakan purdah,” katanya.

    Sebagai pelakon baru, Hafidz sudah berusaha memberikan yang terbaik mengikut kemampuannya. “Saya serahkan kepada penonton untuk menilai hasilnya. Maklumlah, saya baru setahun lebih berlakon dan pastinya masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki dalam lakonan,” katanya.

    Drama arahan Khairul Amri Khalid atau Keoi itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Ridzuan Hashim, Maria Farida, Mahmud Ali Bashah dan Alif Satar.

    Impi watak gengster 

    Barangkali ada yang menganggapnya sebagai ‘hero jambu’, sebaliknya Hafidz mengimpikan untuk melakonkan watak yang lebih mencabar tahap kemampuannya dalam lakonan.

    Pelakon yang mengagumi Bront Palarae dan Zul Huzaimy ini mengakui dia juga ingin melakonkan watak gengster dan lelaki yang lurus bendul pula selepas ini.

    “Mungkin saya masih muda tetapi ia bukan bermaksud saya tidak boleh melakonkan watak yang lebih mencabar. Saya juga ingin melakonkan watak lelaki yang lebih matang daripada usia. Bukan saja drama, saya juga ingin berlakon filem jika ada tawaran nanti,” katanya.

    Sebagai pelakon, Hafidz juga sudah bersedia dengan tempias gosip dan kontroversi. “Sebelum terjun dalam bidang lakonan, saya sudah membuat persiapan dari segi mental dan fizikal. Saya juga menganggapnya sebagai sebahagian dari asam garam dalam bidang hiburan,” katanya.

    Beralih sisi peribadinya pula, Hafidz yang kini menyambung pengajian dalam bidang perniagaan juga mengakui dirinya sudah memiliki teman istimewa. “Saya juga tidak ada masalah untuk berkongsi cerita peribadi dengan peminat. Cukup saya beritahu hati ini sudahpun dimiliki seseorang ketika ini,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Bukan Nak Kejar Glamor Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top