My Blog List

Translate

  • PANAS

    Saturday 27 February 2016

    DiCaprio Calon Terhebat Untuk Oscar



    Menjelang The Academy Awards ke-87 atau Oscar pada Isnin ini (waktu Malaysia), nama Leornardo DiCaprio menjadi sebutan pengikut setia acara berprestij itu. Siapa yang dapat menyangkal kehebatan lakonan aktor berusia 41 tahun itu yang menjadi tonggak utama filem The Revenant? 

    Tahun ini, Leo menyapu bersih trofi Aktor Terbaik dalam Critics’ Choice Awards, Golden Globe Awards, Screen Actors Guild Awards, British Academy Film Awards, AACTA Awards, Boston Society of Film Critics, Chicago Film Critics Association Awards dan banyak lagi.

    Bersaing dengan calon hebat lain termasuklah Matt Damon menerusi filem The Martian, Bryan Cranston (Trumbo), Michael Fassbender (Steve Jobs) dan Eddie Redmayne (The Danish Girl), Leo masih mendahului senarai ramalan.

    Lupakan kegagalan lalunya yang pulang dengan tangan kosong sepanjang lima pencalonan di Oscar. Pernah disenaraikan dalam kategori Aktor Pembantu Terbaik menerusi What’s Eating Gilbert Grape (1993), Aktor Terbaik untuk The Aviator (2005), Blood Diamond (2007), The Wolf of Wall Street (2014) dan sebagai produser The Wolf of Wall Street untuk Filem Terbaik, rezeki tidak pernah berpihak kepadanya.

    Namun, dengan lakonan berkesannya dalam The Revenant, tidak mustahil pelakon ini merangkul trofi Aktor Terbaik yang menjadi buruan ramai pelakon. Wataknya sebagai Hugh Glass menarik perhatian penonton apabila bertutur dalam pelbagai bahasa Orang Asli Amerika.

    Malah, setiap babak tanpa dialog turut mendapat pujian apabila apa yang disampaikannya dapat dirasai penonton. Aksinya sewaktu dicakar beruang buat penonton berasa sedih seolah-olah turut sama merasai kesakitan itu pada hal ia menggunakan teknik Imej Janaan Komputer (CGI).

    Begitu juga kesejukan dialami Glass, seolah-olah penonton ada dalam situasi itu tatkala menontonnya. Edisi kali ini turut menyaksikan persaingan sengit filem Spotlight, The Big Short dan The Revenant apabila dikatakan bakal dinobatkan sebagai Filem Terbaik.

    Sebelum ini, Sportlight mengungguli kategori Filem Terbaik Critics’ Choice Awards 2016 manakala The Big Short pula memenangi kategori sama di Producers Guild Awards. The Revenant pula membuka tirai 2016 dengan mendominasi pencalonan dan meraih kemenangan berganda di Golden Globes Awards, Directors Guild dan BAFTAs.

    Lebih membanggakan, karya hebat itu meraih kutipan pecah panggung lebih RM700 juta. Bagaimanapun, kemenangan yang diraih itu bukan jaminan kerana dalam Oscar segalanya bergantung pada momentum.

    Setakat ini, The Revenant dilihat paling berpotensi menang besar , namun andai Spotlight dan The Big Short mengungguli kategori itu, ia bukan satu kejutan kerana ramai menjangkakannya.

    Sementara itu, calon kategori Pengarah Terbaik pula bukan nama asing di pentas Oscar. Ridley Scott misalnya kembali dengan The Martian selepas gagal meraih trofi dalam tiga pencalonan terdahulu. Scott bagaimanapun tidak ada dalam senarai calon kegemaran ramai.

    Sebaliknya, pengarah filem Room, Lenny Abrahamson pula dikatakan ada harapan, begitu juga dengan Tom McCarthy (Spotlight) dan Adam McKay (The Big Short). Kebiasaannya, persaingan dinilai berdasarkan karya berskala besar dan paling menarik perhatian.

    George Miller yang mengarah Mad Max: Fury Road misalnya tampil dengan filem aksi paling menarik pada alaf ini. Pun begitu, usah pandang sepi pada Alejandro Gonzalez Inarritu yang menghasilkan The Revenant kerana sutradara ini mendapat pengiktirafan di lebih tiga acara, sekali gus memberikan kelebihan kepadanya untuk menang sekali lagi.

    Tahun lalu, Alejandro memenangi kategori itu menerusi Birdman dan jika berjaya sekali lagi, dia mencipta rekod menang berturut-turut. Jika ia berlaku, dia bukanlah yang pertama kerana Joseph L Mankiewicz mencipta rekod itu terlebih dulu pada 1949 menerusi A Letter to Three Wives dan All About Eve (1950).

    Begitu juga John Ford menerusi The Grapes of Wrath (1940) dan How Green Was My Valley (1950). Inarritu paling berpotensi menang Pengarah Terbaik, namun jangan pandang rendah pada kebolehan George Miller dan Adam McKay. Aktres Terbaik mungkin jadi milik Brie Larson yang membintangi filem Room, Aktor Pembantu Terbaik - Mark Ruffalo (Spotlight) dan Aktres Pembantu Terbaik - Alicia Vikander (The Danish Girl).
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: DiCaprio Calon Terhebat Untuk Oscar Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top