My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday 25 February 2016

    Barcelona Menang Bergaya di Emirates



    Jurulatih Barcelona, Luis Enrique menyifatkan kejayaan anak-anak buahnya menewaskan Arsenal 2-0 pada aksi pertama pusingan 16 pasukan Liga Juara-Juara yang berlangsung di Emirates awal pagi semalam sebagai suatu yang luar biasa. 

    Bagaimanapun, The Catalans terpaksa menunggu sehingga minit ke-71 untuk memecah kebuntuan selepas serangan balas pantas yang dilakukan juara Eropah itu disempurnakan dengan penuh bergaya oleh penyerang sensasi, Lionel Messi.

    Kapten pasukan kebangsaan Argentina itu sekali lagi menggegarkan gawang The Gunners menerusi sepakan penalti pada minit ke-83 selepas dia dijatuhkan Mathieu Flamini di dalam kotak penalti.

    “Saya berpuas hati dengan aksi keseluruhan, tidak ada apa-apa yang membuatkan saya kecewa. Semua pemain berada pada prestasi terbaik dan kami sememangnya berhak untuk mencatat kemenangan pada hari ini (semalam). Bagaimanapun, saingan masih lagi terbuka dan kami akan selesaikan tugas ini di laman sendiri nanti.

    “Pada separuh masa pertama, mereka (Arsenal) menggunakan taktik bertahan, namun kami berjaya membuatkan mereka letih serta mencipta peluang menjaringkan gol. Kami juga bertahan dengan baik kerana kami tahu keupayaan (Mesut) Ozil sekiranya dia diberi ruang. Mereka gagal untuk rencanakan gerakan berbahaya,” kata Enrique.

    Barcelona mungkin kehilangan khidmat pemain tengah, Sergio Busquets yang mengalami kecederaan lutut. Bagaimanapun, Enrique memuji semangat yang ditonjolkan pemain Sepanyol itu biarpun beraksi dalam keadaan sakit.

    “Busquest adalah seorang pemain yang hebat. Dia beraksi dengan lututnya cedera, namun saya tidak mengeluarkannya kerana dia merupakan pemain penting dalam pasukan. Saya mahu dia terus beraksi walaupun dia meminta untuk dikeluarkan,” ujarnya.

    Dalam satu lagi perlawanan, Juventus hanya sekadar seri 2 - 2 menentang bekas Juara Eropah, Bayern Munich di Turin. Bermain di Turin, Bayern jelas berada dalam kelas yang tersendiri apabila mendahului lawannya dua kali sebelum berjaya disamakan oleh Juventus.

    Gol-gol Bayern dijaringkan oleh Thomas Mueller dan Arjen Robben sebelum berjaya disamakan oleh Paolo Dybala dan pemain gantian, Stefano Sturaro, 14 minit sebelum perlawanan ditamatkan.

    Berikut adalah keputusan bagi perlawanan pusingan kedua perlawanan pertama.

    Arsenal (England) - 0
    Barcelona (Sepanyol) - 2

    Juventus (Itali) - 2
    Bayern Munich (Jerman) - 2
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Barcelona Menang Bergaya di Emirates Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top