My Blog List

Translate

  • PANAS

    Saturday 27 February 2016

    Ringan Beban Rakyat Keutamaan Adenan

    CERIA: Adenan ditemu bual oleh Sayed Munawar (kanan) bagi Rancangan Khas yang disiarkan secara langsung di TV1 dari Auditorium P. Ramlee,  RTM Kuching malam tadi.

    Kerajaan negeri akan memansuhkan cukai tanah berkuat kuasa pertengahan bulan Mac ini bagi meringankan beban rakyat terutama golongan miskin. Langkah untuk memansuhkan cukai tanah ini diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pada temu bual secara langsung dalam Rancangan Khas di Auditorium P.Ramlee, RTM Kuching malam tadi. 

    Selain memansuhkan cukai tanah, kerajaan juga menurut Adenan bercadang untuk mengurangkan cukai pintu sebagai langkah untuk mengurangkan beban rakyat di negeri ini. “Walaupun sewa (cukai) tanah hanya RM1 satu hektar, tetapi bagi mereka yang tinggal jauh di pedalaman jumlah ini adalah besar jika dikira termasuk kos untuk mereka keluar membayar sewa.

    “Oleh sebab itu, mulai pertengahan bulan Mac ini, kerajaan akan menghapuskan sewa tanah dan selepas ini menurunkan kadar cukai pintu,” katanya. Menyentuh mengenai Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) pula, Adenan yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri yakin BN akan kekal menang dengan majoriti besar.

    Malah, beliau juga tidak menolak berkemungkinan akan menggunakan calon terus BN yang dapat diterima rakyat dan lebih penting boleh membawa kemenangan kepada BN. “Tidak dinafikan ada antara parti komponen BN yang berdegil dan tidak mahu berkompromi dalam soal calon dan saya akan membiarkan dahulu mereka dengan kedegilan mereka itu.

    “Tetapi, keputusan akan ditentukan oleh saya sendiri dan Perdana Menteri dan saya berkemungkinan akan menggunakan calon terus BN jika itu adalah pendekatan yang terbaik untuk kita,” katanya.

    Mengulas mengenai tanggapan bahawa beliau bersifat antipersekutuan, Adenan berkata beliau hanya mahukan hak-hak rakyat dan negeri yang ada seperti dalam Perlembagaan. “Jika kita baca Perjanjian Malaysia dan sebagainya, kita mempunyai hak-hak dan kuasa yang boleh kita tuntut dan apa yang saya lakukan ini tiada kena-mengena dengan perkara luar daripada Malaysia.

    “Kalau dikaji semula Sarawak bukan satu negeri dalam Malaysia tetapi satu pihak yang menubuhkan Malaysia menerusi Perjanjian Malaysia dan ini harus kita ingat,” tegasnya. Rancangan Khas malam tadi disiarkan secara langsung di TV1 selama satu jam dari Auditorium P.Ramlee, RTM Kuching.

    Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, isteri Ketua Menteri Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu dan menteri-menteri kabinet.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Ringan Beban Rakyat Keutamaan Adenan Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top