My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday 23 February 2016

    Bakti Rumah Atas Bukit


    “Sejak lebih 30 tahun lalu, kami menumpangkan penduduk kampung terjejas akibat banjir di rumah ini. Ia menjadi tradisi kami sekeluarga ,” kata pemilik rumah Suhara Othman, 30. 

    Rumah Suhara satu-satunya rumah di Kampung Batu Kitang, di sini, yang tidak pernah dilanda banjir kerana terletak di atas bukit menyebabkan rumahnya dijadikan pusat pemindahan mangsa banjir kampung itu.

    Sejak Sabtu lalu, rumah pusaka dua tingkat milik keluarganya itu menempatkan 181 mangsa banjir daripada 40 keluarga terdiri daripada penduduk kampung. Difahamkan, baru tahun ini rumah Suhara diiktiraf sebagai pusat pemindahan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak, manakala tahun sebelumnya keluarga Suhara melakukannya secara sukarela.

    Suhara berkata, sepanjang menjadikan rumah itu pusat pemindahan, penduduk kampung berada di tingkat bawah untuk tidur dan berehat, manakala tingkat atas dikhaskan untuk solat. Menurutnya, keutamaan diberikan kepada warga emas, wanita dan kanak-kanak sebaliknya penduduk lelaki lazimnya tidak berpindah kerana ingin menjaga keselamatan rumah.

    “Sejak air naik pagi Sabtu lalu, penduduk kampung mula datang ke rumah untuk menumpang dengan membawa dokumen penting serta beberapa barang milik mereka.

    “Walaupun rumah padat dan riuh-rendah dengan kehadiran mangsa banjir, tetapi saya tidak kisah, malah seronok kerana dapat membantu mereka, lagipun kami sekampung dan perlu tolong menolong,” katanya.

    Suhara berkata, dia hanya meneruskan tradisi dilakukan kedua-dua ibu bapanya yang sering membantu penduduk kampung ketika banjir melanda kawasan itu.

    “Seingat saya, sejak kecil ada saja penduduk kampung menumpang di rumah ini setiap kali kampung kami dilanda banjir.

    “Apabila hujan berterusan dan paras air Sungai Sarawak meningkat, kampung kami ditenggelami air hingga mencecah dua meter dan mengambil masa untuk surut,” katanya.

    Menurut Suhara, dia hanya menyediakan tempat tinggal, manakala dari aspek keperluan asas, semuanya disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

    “Malah, pasukan penyelamat, anggota bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) turut berada di rumah untuk memantau keadaan banjir,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Bakti Rumah Atas Bukit Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top