Syarikat pengeluar kasut terkemuka, Pallas memperkenalkan produk keluaran terbaru Rejam yang dicipta khas untuk pengemar sukan sepak takraw dan dilancarkan secara eksklusif di Pulau Pinang, baru-baru ini.
Selain memperkenalkan duta Rejam iaitu bekas pelibas skuad sepak takraw negara, Zabidi Shariff, kasut yang direka khas itu mempunyai kualiti dan keistimewaan tersendiri bersesuaian dengan tagline Mewarnai Keceriaan Dunia Sepak Takraw.
Pengurus Pembangunan Penjenamaan Pallas, Katherine Lim berkata, jika sebelum ini Pallas memperkenalkan kasut Rejam berwarna hitam dan putih, produk terbaru itu menampilkan pelbagai corak warna dengan tarikan tersendiri.
Beliau berkata, pelbagai keistimewaan diperoleh pada kasut Rejam ini termasuk tapak kasut fleksibel serta mampu dilentur dan memaksimumkan pergerakan kaki tanpa sebarang halangan, sekali gus menjadikannya kasut lain daripada lain.
Katanya, kusyen tumit getah setebal 10 milimeter yang direka dengan dua lapisan mampu menyerap segala kejutan dan kuasa tekanan pada tumit kaki semasa permainan selain ia mampu menghalang berlaku kecederaan.
“Keistimewaan lain, Rejam mempunyai VGrip iaitu corak cengkaman V direka secara ‘herringbone’ atau garisan arah songsang terbaik untuk pergerakan pelbagai arah di atas semua permukaan dan tapak yang diperbuat daripada getah tidak meninggalkan kesan.
“Rejam amat sesuai dan selesa dipakai kerana kami amat mementingkan keselesaan, malah penggunaan kasut ini mampu membantu melakukan timangan dan rejaman tepat serta pantas,” katanya.
Katherine berkata, bukan itu sahaja, lidah kasut yang lebih tebal memberikan keselesaan kepada pemakai, malah kolar kasut mempunyai ketebalan yang mampu memberi sokongan dan jagaan kepada pengelangan kaki dari kecederaan.
0 comments:
Post a Comment