My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday 24 February 2016

    Selangor Sekadar Seri


    Selangor gagal memulakan kempen Piala AFC dengan nada kemenangan apabila kecuaian pertahanan pada penghujung perlawanan menyaksikan mereka terikat 2-2 dengan Ceres FC di Stadium Panaad, Bacolod, semalam. 

    Skuad Red Giants gagal mempertahankan kelebihan satu gol yang diperoleh pada separuh masa kedua apabila mendahului 2-1 selepas bangkit daripada ketinggalan awal babak pertama. Perlawanan separuh masa pertama di antara skuad kendalian Zainal Abidin Hassan dan Ali Go itu bermula agak rancak dengan banyak percubaan menarik dilakukan kedua-dua pasukan.

    Namun, kelab Filipina itu terlebih dulu memecahkan kebuntuan apabila mendapatkan gol pertama menerusi pemain naturalisasi berdarah kacukan Filipina-Jerman Stephan Schrock hasil percubaan kaki kiri dari luar kotak penalti pada minit ke-18.

    Tersentak, wakil negara yang juga juara Piala Malaysia musim lalu itu mula memperkemaskan rentak mereka namun percubaan Patrick Ronaldinho pada minit ke-23 hanya sekadar melewati gawang Ceres.

    Bagaimanapun pada minit 34, kesilapan penjaga gol tuan rumah yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan mereka berjaya dihidu penyerang Argentina Mauro Olivi sekali gus mengikat kedudukan 1-1 sehingga tamat separuh masa pertama.

    Aksi selepas rehat menyaksikan anak buah Zainal melakukan kebangkitan dramatik dan usaha keras itu membuahkan hasil apabila mendahului melalui sepakan percuma cantik tonggak tengah Hafiz Kamal pada minit ke-59.

    Pasukan tuan rumah yang mendapat sokongan hampir 15,000 penonton cuba bangkit mencari jaringan penyamaan namun percubaan Adrian Gallardo berjaya dihalang Norazlan Razali pada minit ke-70.

    Ketika perlawanan berbaki 10 minit untuk tamat, Zainal membuat pertukaran pertama dengan mengeluarkan pertahanan tengah Razman Roslan dan memasukkan Rizal Fahmi Rosid. Namun, sedikit kealpaan barisan pertahanan yang gagal menyekat hantaran lintang pada minit ke-87 akhirnya membolehkan Gallardo menanduk masuk untuk menceriakan penyokong tuan rumah.

    Keputusan seri 2-2 itu kekal hingga tamat perlawanan. Selepas ini skuad Merah Kuning dijadualkan bertemu kelab dari Singapura Tampines Rovers pada 8 Mac.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Selangor Sekadar Seri Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top