My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday 25 February 2016

    Kapal China Di Perairan Beting Patinggi Ali Terus Dipantau



    Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) masih meneruskan pengawasan terhadap kapal pengawal pantai China di perairan sekitar Gugusan Beting Patinggi Ali, Miri. 

    Laksamana Pertama Maritim Ismaili Bujang Pit berkata, selain mengekalkan kedudukan kapal di sekitar perairan tersebut, pihaknya turut melakukan pengawasan melalui udara. “Tidak dinafikan kapal China ini masih berada di sana dan kita (APMM) bersama TLDM juga masih mengekalkan kehadiran kita selain melakukan pengawasan melalui udara.

    “Pengawasan diteruskan atas arahan daripada kepimpinan tertinggi negara yang jelas amat mementingkan kedaulatan maritim Malaysia,” ujarnya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media sebelum sesi Ujian Kemahiran Menembak Senjata Kecil (UKMSK) di Lapang Sasar Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Jalan Puncak Borneo di sini, semalam. Ismaili berkata, tiada ancaman atau gangguan diterima oleh nelayan yang menjalankan aktiviti penangkapan ikan di sekitar kawasan perairan tersebut.

    “Tiada masalah untuk nelayan tempatan menangkap ikan kerana ini masih perairan negara kita (Malaysia) dan setakat ini tiada laporan berkenaan halangan atau gangguan daripada mereka (China).

    “Nelayan kita masih bebas melakukan aktiviti penangkapan ikan di kawasan perairan tersebut,” jelas beliau.

    Terdahulu, Ismaili pada sidang media tersebut memberitahu pihaknya telah menghantar dua pesawat jenis Bombardier untuk membantu memadam kebakaran hutan di kawasan Kuala Baram, Miri.

    “APMM telah menghantar dua pesawat Bombardier bersama 12 anggota serta pegawai untuk membuat ‘water bombing’ dalam operasi memadam kebakaran kawasan tanah gambut di Kuala Baram. “Sementara untuk banjir, kita menyediakan kemudahan logistik untuk kerja-kerja pemindahan dan pengangkutan dari kawasan-kawasan yang terjejas,” jelasnya.

    Kira-kira 100 anggota APMM Wilayah Sarawak dan 23 pengamal media serta wakil beberapa agensi kerajaan terlibat dalam UKMSK tersebut yang dianjurkan sempena sambutan Hari Ulang Tahun Maritim Malaysia Ke-11. Hadir sama Pengarah Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Stanley Tan dan Timbalannya Abdul Hafidz Abdul Rahim.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Kapal China Di Perairan Beting Patinggi Ali Terus Dipantau Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top