My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday 26 February 2016

    Kehadiran Najib Penyeri Sejiwa Senada Saratok

    JOM MERIAHKAN: Abang Johari (tengah) mempengerusikan sidang media mengenai program Sejiwa Senada Saratok 2016, semalam. Turut kelihatan Abdul Karim (kanan) dan Abdul Wahab.

    Program Sejiwa Senada (SJSN) 2016 diteruskan dan destinasi berikutnya, Dataran Saratok bermula hari ini (Jumaat) hingga 28 Februari 2016. Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, SJSN Saratok lebih istimewa dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak buat pertama kalinya dalam program itu. 

     “Kali ini, dua pucuk pimpinan akan hadir iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Ini pertama kali beliau hadir pada program Sejiwa Senada, selain kehadiran Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

     “Kehadiran kedua-dua pemimpin ini, sangat penting kerana ia menggambarkan jalinan kerjasama yang erat antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat,” ujarnya pada sidang media mengenai SJSN Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.

     Hadir sama Menteri Muda Perumahan merangkap Menteri Muda Pembangunan Belia Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda Kemajuan Tanah Datuk Abdul Wahab Aziz dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Misnu Taha. Abang Johari berkata, majlis perasmian SJSN Saratok akan disempurnakan Perdana Menteri pada Ahad, 28 Februari.

    Abang Johari yang juga Menteri Perumahan berkata, SJSN akan diteruskan lagi di empat destinasi tambahan iaitu Limbang (1-3 April), diikuti Sri Aman (Kompleks Sukan Sri Aman) dari 8 hingga 10 April, Samarahan (pekarangan Dewan Suarah Samarahan) 15-17 April dan Kuching (Matang) yang dijadualkan 22-24 April.

    Mengulas lanjut mengenai SJSN Saratok, Abang Johari berkata ia padat dengan pelbagai program seperti pameran pembangunan, pentas rakyat, persembahan hiburan artis jemputan khas dan tempatan, pameran usahawan Sarawak, aktiviti masyarakat, seminar pembangunan dan kepimpinan ketua masyarakat/ketua kaum, ceramah dan e-Peraduan.

    “SJSN Saratok menawarkan hadiah utama, iaitu sebuah kereta Perodua Axia untuk e-Peraduan diikuti banyak lagi hadiah menarik antaranya motosikal, set televisyen, telefon pintar, peti sejuk dan mesin basuh. “Pengunjung juga akan dihiburkan oleh artis jemputan khas pada malam Sabtu (27 Februari).

    Artis jemputan kali ini ialah Dayang Nurfaizah, Ayai (Ilusi), Evza Bahra, Zah Amirul selain artis-artis tempatan antaranya Ricky Andrewson Ngalai, Melissa Francis, Jeffery Jack, Siri Azliyani, Embat Lala dan Ricky El,” katanya.

    Ditanya mengenai jumlah pengunjung yang akan mengunjungi SJSN Saratok, Abang Johari berkata pihaknya menjangkakan sambutan amat menggalakkan berdasarkan penganjuran SJSN sebelum ini yang mencecah ratusan ribu orang.

    “Difahamkan daripada wakil rakyat di situ kehadiran pengunjung sehebat di Sarikei hujung minggu lalu kerana terdapat banyak kawasan berdekatan seperti Saribas, Beting Maro, Kelaka, Krian dan Engkilili. Jadi, sekurang-kurangnya 80,000 akan tampil.

    “Sebelum ini juga kita menyasarkan 80,000 pengunjung mengunjungi SJSN Sarikei tetapi apabila tiba harinya jumlah yang tampil seramai 120,000 begitu juga di Sibu seramai 130,000,” ujarnya sambil menambah jumlah itu menunjukkan pihak akar umbi dapat menerima konsep Sejiwa Senada. 

    Jelas Abang Johari lagi, kehadiran pengunjung yang ramai itu menggambarkan rakyat jelata tahu wujudnya kerjasama erat antara pihak penggubal dasar iaitu kerajaan dan pelaksana dasar atau perkhidmatan awam.

    “Ini adalah satu kerjasama yang sangat penting, untuk kita (kerajaan) memberi perkhidmatan tang baik kepada rakyat,” ujarnya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Kehadiran Najib Penyeri Sejiwa Senada Saratok Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top