My Blog List

Translate

  • PANAS

    Saturday 27 February 2016

    UMNO, NGO Gesa Tindakan Wajar Terhadap Doris Jones

    BERI PENGAJARAN: Aminah (lima kiri), Jamalah (empat kiri) dan Juhari (empat kanan) menunjukkan laporan polis di hadapan IPD Kota Kinabalu kelmarin.

    Wanita UMNO Bahagian Kudat dan dua badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Persatuan Bangsa Sungai Sabah dan Persatuan Momogun Rungus Sabah (SAMORA) membuat laporan polis berhubung tindakan seorang individu yang menghina dan memuat naik wajah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di laman sosial Facebook. 

    Ketiga-tiga pihak berkenaan membuat laporan polis terhadap Doris Jones yang menghina Timbalan Perdana Menteri menerusi akaun Facebook miliknya.

    Laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu terbabit dibuat secara berasingan kira-kira jam 2 petang kelmarin diketuai Ketua Wanita UMNO Bahagian Kudat Datuk Aminah Ambrose dan Timbalan Presiden Persatuan Bangsa Sungai Sabah Datuk Juhari Janan.

    Aminah yang ditemui selepas membuat laporan polis berkenaan berkata, pihaknya terpanggil untuk membuat laporan polis berikutan perbuatan Doris yang sudah beberapa kali mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap pemimpin negara.

    “Doris yang memuat naik gambar yang menyamakan Timbalan Perdana Menteri dengan binatang adalah perbuatan provokasi yang melampau dan kami mengecam sekeras-kerasnya perbuatan yang dipandang tidak bertamadun bagi seorang wanita,” katanya.

    Beliau berkata, pihaknya juga membidas sekeras-kerasnya kenyataan lain yang dikeluarkan berkenaan parti UMNO yang didakwa adalah satu parti yang celaka oleh Doris.

    “Parti kami bukanlah parti yang celaka sepertimana yang dimuat naik oleh Doris di Facebook dan kami harapkan pihak berkuasa termasuk pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menganalisis kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau,” katanya.

    Sementara itu, Juhari berkata pihaknya menggesa pihak berkuasa agar mengambil tindakan tegas terhadap kenyataan Doris yang mendakwa pihak berkuasa di negara ini gagal mengambil tindakan terhadapnya ketika beliau berada di luar negara.

    “Kita harapkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalinkan kerjasama bersama Interpol agar Doris dapat dikenakan tindakan dan dibawa balik untuk diadili di mahkamah,” katanya.

    Juhari berkata, tindakan Doris yang menggunakan Facebook sebagai saluran untuk melakukan penghinaan kepada pemimpin negara adalah perbuatan tidak wajar dan tidak memanfaatkan teknologi terbabit sebaik mungkin.

    Menurutnya, pihaknya yakin tindakan membuat laporan polis itu adalah wajar bagi menyedarkan Doris yang didakwa sudah tidak mempunyai sentimen kenegaraan walaupun beliau masih bergelar warganegara Malaysia.

    Turut hadir ialah Timbalan Presiden Samora Jose Modsinub, Ketua Wanita UMNO Bahagian Tuaran Jamalah Antalib, ahli Persatuan Kapal Belia Malaysia (Kabesa) dan ahli UMNO lain.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: UMNO, NGO Gesa Tindakan Wajar Terhadap Doris Jones Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top