Calon Presiden Amerika Syarikat (AS) daripada Parti Republikan, Donald Trump boleh mendabik dada selepas memenangi pengundian parti itu atau kaukus di negeri South Carolina kelmarin. Pengundian Parti Demokrat pula menyaksikan bekas Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton mengatasi saingan sengit daripada pencabarnya, Senator Bernie Sanders untuk menang di negeri Nevada.
Kemenangan Trump yang bermulut celupar dan Clinton sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka untuk mara dalam pemilihan parti masing-masing menjelang pilihan raya Presiden AS pada 8 November depan.
Pengundian kelmarin turut menyaksikan ego seorang lagi calon Parti Republikan, Jeb Bush tercalar apabila hanya menduduki tempat keempat di South Carolina. Bush mengaku kalah dan mengumumkan menarik diri daripada kempen pilihan raya Presiden AS kali ini.
“Penduduk Iowa, New Hampshire dan South Carolina telah membuat pilihan dan saya menghormati keputusan mereka,” katanya ketika berucap di Columbia. Bush gagal mendapat keputusan yang baik dalam pengundian di tiga negeri itu.
Sebaliknya, kemenangan Trump di South Carolina dan New Hampshire serta mengungguli tinjauan pendapat di 13 negeri lain menjelang kaukus Parti Republikan pada 1 Mac ini menjadikan peluangnya untuk memenangi pencalonan parti itu amat cerah.
Situasi itu sukar dibayangkan semasa Trump mula-mula mengumumkan kempen politiknya pada musim panas tahun lalu. “Sukar untuk Trump tewas pada peringkat ini,” kata Hogan Gidley yang merupakan penasihat kanan kepada seorang lagi bekas calon Parti Republikan, Mike Huckabee.
Trump, 69, yang merupakan bilionair hartanah dan bintang realiti televisyen diumumkan pemenang di South Carolina apabila menewaskan Senator Florida, Marco Rubio dan Senator Texas, Ted Cruz yang berada di tempat ketiga. Dalam pemilihan tersebut,
Trump mendapat 32.5 peratus undi diikuti Rubio (22.5 peratus) dan Cruz (22.3 peratus). Kemenangan itu membolehkan Trump memperoleh pencalonan 44 daripada 50 delegasi Parti Republikan di South Carolina berbanding 11 delegasi yang menyokong Cruz dan 10 untuk Rubio.
Seorang calon Republikan memerlukan sokongan 1,237 delegasi bagi memenangi pencalonan parti itu. Trump turut mencetuskan kontroversi menjelang pemilihan di South Carolina selepas ketua mazhab Roman Katholik, Pope Francis pada Khamis lalu menganggap pendiriannya mengenai imigran sebagai bercanggah dengan agama Kristian.
Pada Jumaat lalu, Trump sekali lagi bermulut celupar apabila menceritakan berkenaan seorang jeneral AS yang dikatakan mencelup peluru dengan darah babi untuk membunuh beberapa tahanan Islam seabad lalu.
Dalam pada itu, kemenangan Clinton dalam kaukus Parti Demokrat di Nevada pula membolehkan para penyokongnya lebih bertenang.
0 comments:
Post a Comment