Kerajaan negeri telah mengenal pasti seramai 29,073 keluarga miskin tegar di negeri ini yang layak menerima bantuan subsidi beras setiap bulan melalui program MyBeras bermula 1 Mac ini. Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Yahya Hussin berkata, setiap keluarga yang dikenal pasti akan menerima 20 kilogram beras sebulan sehingga Disember ini.
Menurutnya, jumlah keluarga yang terpilih itu adalah berdasarkan senarai yang diterima melalui Bank Data Kemiskinan Nasional (e-Kasih). “Sejajar dengan pengubahsuaian Bajet 2016, kerajaan negeri juga telah mengenal pasti keluarga miskin tegar yang layak bagi program MyBeras.
“Komitmen kerajaan dalam membantu golongan yang memerlukan terus dilaksana menerusi program ini,” katanya selepas menghadiri Taklimat Khas Kawalan Terhadap Eksport Ikan Segar di Wisma Pertanian Sabah di sini.
Turut hadir Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Musbah Jamli, Pengerusi Pemasaran Perikanan Sabah (Safma), Datuk Jaujan Sambakong serta Setiausaha Tetap kementerian, Datuk Ujang Sulani.
Pada 28 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan pengubahsuaian Bajet 2016 mengumumkan pelaksanaan program MyBeras sehingga Disember tahun ini bertujuan mengurangkan beban hidup keluarga miskin di negara ini termasuk Sabah dan Sarawak.
Dalam pada itu, Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri memberitahu, pihaknya hanya berperanan sebagai penyelaras dan pemantau manakala pelaksanaan program itu adalah di bawah Padiberas Nasional Berhad (Bernas).
Beliau berharap program MyBeras dapat memberi nilai tambah dan membantu golongan keluarga miskin dalam meneruskan kehidupan berikutan kenaikan kos sara hidup.
“Saya yakin program ini dapat membantu mengurangkan beban keluarga miskin tegar di Sabah. Ini sekali gus membuktikan janji kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa dikotakan iaitu membantu meringankan beban rakyat,” katanya.
0 comments:
Post a Comment