Kerjaya selama lebih 10 tahun sebagai penyampai radio akhirnya akan ditamatkan pada 26 Februari ini. Bukan bersara, penyampai radio Hot FM Fara Fauzana ingin berundur dari bidang itu kerana mahu memberi peluang buat dirinya.
“Keputusan ini dibuat untuk diri saya sendiri. Rasanya sudah tiba masa untuk saya memberi peluang kepada penyampai lain. Pada masa sama, beri peluang kepada diri sendiri untuk melakukan perkara lain,” katanya.
Menurut penyampai radio dan pengacara itu, dia ingin meluangkan lebih banyak masa buat dirinya di samping mendekatkan diri dengan Tuhan.
“Saya sudah berusia 36 tahun. Banyak perkara perlu saya fikirkan sebagai seorang wanita bujang. Saya perlu fikirkan mengenai kewangan dan keluarga sebelum membuat keputusan ini.
“Namun, saya yakin, rezeki Allah itu ada di mana-mana dan saya ingin mendekatkan diri dengan-Nya. Saya memang sibuk dengan kerja dan disebabkan itu, ada beberapa perkara yang tidak dapat saya lakukan antaranya untuk kelas usrah dan sebagainya,” katanya.
Menurutnya, selepas 10 tahun bersama Hot FM, sudah tiba masanya untuk dia bertukar arah dan meluangkan masa berkualiti untuk dirinya. “Sepanjang bergelar pekerja tetap di Rangkaian Radio Media Prima Berhad, saya memang memberikan komitmen sepenuhnya. Jadi, rasanya saya perlu rehat yang cukup untuk diri kerana sebagai manusia, saya juga perlu ‘recharge’,” katanya.
Selepas menamatkan perkhidmatan secara rasmi dengan Media Prima Berhad pada 27 Februari ini, Fara punya beberapa perancangan dan salah satunya adalah untuk berkhidmat kepada masyarakat.
“Sebelum ini, saya dapat banyak e-mel daripada beberapa NGO (Badan Bukan Kerajaan) dan institut pengajian tinggi yang meminta saya hadir ke acara anjuran mereka dan berkongsi pengalaman. Namun, saya terpaksa menolak disebabkan kekangan masa.
“Jadi, selepas ini Insya Allah saya akan ada banyak masa untuk melakukan kerja khidmat masyarakat. Saya ingin berkongsi pengalaman yang saya ada dengan belia bagi membantu mereka memajukan diri,” katanya.
Ditanya mengenai kerjaya seni, Fara masih lagi akan menjalankan tugasnya sebagai anak seni kerana itu adalah sumber kewangan utama.
“Walaupun tidak lagi menjadi penyampai radio, saya masih memerlukan sumber kewangan. Ada beberapa tawaran untuk lakonan dan juga pengacaraan dari beberapa stesen televisyen, namun masih dalam perancangan,” katanya.
Diminta penjelasan mengenai beberapa khabar angin yang mengatakan dia bakal dilamar sebuah stesen televisyen lain untuk menjadi wajah eksklusif, Fara sendiri mengakui terkejut dan belum mendapat apa-apa tawaran sebegitu.
“Saya masih lagi mengacarakan program di TV3 iaitu Muzik Muzik. Untuk stesen lain, kalau ada pun, buat masa sekarang masih belum ada sebarang pertemuan,” katanya. Menurutnya, sepanjang perkhidmatannya di stesen radio itu, pelbagai kenangan dirakamkan.
“Pelbagai perkara kami lakukan bersama. Saya pernah makan di depan mulut buaya, pernah bersanding secara olok-olok, malah pernah juga melakukan ‘blind date’ bersama pendengar. Semua itu kami lakukan untuk menyajikan bahan menarik buat pendengar. “Apa pun, sokongan saya sentiasa 200 peratus kepada Hot FM dan saya harap, peminat juga akan tetap menyokong mereka,” katanya.
Selain Fara, tiga lagi penyampai lain yang turut menarik diri dari Hot FM adalah Muhammad Azmir Selamat (AG), Mohd Khairul Ikhwan Rosli (Ikhwan) dan Khairu Norliza Khairudin (Liza) dan ketiga-tiga mereka akan memulakan tugasan sebagai penyampai di stesen radio baru di bawah Rangkaian Radio Media Prima Berhad bermula 3 Mac ini.
0 comments:
Post a Comment