My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 18 February 2016

    Skuad Badminton Lelaki Negara Mara Ke Suku Akhir



    Skuad negara tidak berdepan masalah menumpaskan Nepal 5-0 semalam dalam aksi Kumpulan B seterusnya menempah tiket suku akhir Kejohanan Berpasukan Asia bagi kelayakan Piala Thomas.

    Perseorangan pertama, Zulfadli Zulkiffli menyumbang mata sulung selepas menang mudah 21-5, 21-5 ke atas Sajan Krishna Tamrakar dalam perlawanan berlangsung di Stadium Tertutup GMC Balayogi, Hyderabad.

    Ketua pasukan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin menjadikan kedudukan 2-0 apabila membelasah Bishnu Katwal 21-3, 21-4, diikuti Soong Joo Ven yang kali pertama diturunkan, mengalahkan Nabin Shrestha 21-9, 21-12.

    Beregu lelaki, Low Juan Shen-Tan Kian Meng menewaskan Katwal-Shrestha, 21-9, 21-12, sebelum gandingan Tan Chee Tean-Tan Wee Gieen yang turun dalam perlawanan terakhir menumbangkan Sudeep Sedha-Krishna Tamrakar 21-16, 21-12.

    Menurut Iskandar, dia berasa sedikit terkejut kerana pasukan lawan tidak menurunkan skuad utama namun mereka tetap memberikan persembahan terbaik untuk mencatat kemenangan dalam tempoh satu jam 25 minit.

    "Sekarang kami akan fokus untuk perlawanan esok (hari ini) bertemu Jepun untuk melengkapkan saingan Kumpulan B. Perlawanan ini akan dianggap sebagai ukuran tahap kita berbanding Jepun,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

    Jelasnya, pertembungan hari ini diibaratkan sebagai skuad muda bertemu pasukan utama kerana Malaysia hanya menghantar pemain pelapis.

    “Saya harap kami dapat melakukan kejutan kerana pemain berada pada tahap terbaik. Apa yang perlu dilakukan adalah menyesuaikan diri dengan keadaan angin di stadium,” kata juara Sirkit Akhir Kebangsaan 2015 itu. Sementara itu, Jepun yang juga juara bertahan Piala Thomas turut mengesahkan slot ke suku akhir apabila menumpaskan Sri Lanka 5-0 semalam.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Skuad Badminton Lelaki Negara Mara Ke Suku Akhir Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top