Laporan hasil referendum di United Kingdom (UK) 24 Jun lalu menjadi satu sejarah apabila negara kuasa besar Eropah itu mengambil keputusan keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) yang dianggotai sejak 1973.
Bermula daripada langkah itu berbangkitnya pelbagai spekulasi keadaan ekonomi UK yang dikatakan bakal mengalami kelembapan terutama apabila terdapat petunjuk kemerosotan nilai pound sterling apabila sebelum ini ia berada di tahap kukuh dan bernilai tinggi berbanding nilai Ringgit.
Berdasarkan situasi itu, pelbagai tanggapan mula timbul termasuk adakah pelaburan di dalam projek hartanah di negara asing mampu memberi pulangan tinggi untuk jangka masa panjang dan kurang risiko atau sebaliknya?
Mengulas isu ini, penganalisis hartanah, Tuan Bri Hashim berkata, akibat peristiwa Brexit itu ketidaktentuan keadaan ekonomi UK menyebabkan pelabur hartanah lebih berhati-hati dalam membuat pelaburan. Beliau berkata, Brexit mengambil masa dua tahun untuk mencapai kata putus dan persetujuan muktamad dan dalam tempoh ini, ketidaktentuan itu akan menyukarkan pelabur hartanah sedia ada melupuskan hartanah mereka.
“Selain itu, mereka berdepan kesukaran menyewakan hartanah memandangkan berkemungkinan berlaku perubahan dalam polisi tertentu terutama mengenai status rakyat negara EU yang bekerja atau belajar di sana.
“Pada masa sama, perkara ini mungkin masa paling sesuai untuk pelabur hartanah luar negara untuk melabur di negara berkenaan memandangkan nilai hartanah menurun,” katanya.
Sebelum ini, terdapat laporan pemain industri hartanah tempatan berpendapat Brexit membawa kesan positif segera berikutan kejatuhan pound sterling. Ia disebabkan lebih 40 peratus pembeli di United Kingdom pembeli antarabangsa dan mereka menikmati 10 peratus diskaun dan penyusutan pound sterling menawarkan pelabur 10 peratus kuasa tambahan memasuki hartanah London.
Tuan Bri berkata, secara dasarnya lebih selamat pelabur hartanah individu untuk melabur di dalam pasaran domestik buat masa ini terutama bagi mereka yang tidak mempunyai kefahaman untuk membuat unjuran prestasi ekonomi negara itu.
Katanya, namun, bagi syarikat atau entiti pelaburan yang besar atau individu yang berpengalaman dalam pelaburan hartanah asing semestinya mereka memahami risiko bakal dihadapi. “Berbanding pelaburan hartanah di pasaran domestik, kita lebih mempunyai faktor kedekatan dari segi polisi dan keadaan prestasi mata wang di negara sendiri,” katanya.
Sementara itu, penganalis Ekonomi dan Pensyarah Pelawat Institut Asia-Eropah Universiti Malaya, Dr Jorah Ramlan melihat keputusan UK keluar dari EU berkemungkinan tidak memberi kesan kepada pelabur hartanah asing memandangkan ia dilihat oleh pihak kerajaan sebagai satu langkah baik dari segi pelbagai perkara termasuk pelaburan.
Beliau berpendapat, walaupun berlaku penurunan nilai mata wang negara itu, tetapi ia dijangka berlaku dalam jangka masa pendek. Katanya, setiap pelabur perlu memahami risiko, undang-undang dan polisi sebelum melabur.
“Saya berpendapat UK negara yang kukuh ekonominya dan ia dapat dilihat ketika negara itu dalam EU, negara berkenaan menjaga mata wangnya dan tidak menggunakan mata wang Euro kerana mereka tahu ekonomi UK kuat.
“Jika kita ingin lihat daripada segi risiko pelaburan termasuk hartanah untuk negara yang stabil, pelabur tidak perlu risau memandangkan mereka mempunyai struktur serta polisi melindungi pelabur asing,” katanya.
0 comments:
Post a Comment