Mereka sudah mempunyai kerjaya yang stabil dan mampu memberi pendapatan lumayan namun dua anak muda yang mengasaskan klinik gajet Turbo Fix Mobile Solution (Turbo Fix) di Kota Bharu, Kelantan tidak pernah mencapai kepuasan atas pekerjaan dilakukan mereka.
Bagi kedua-duanya, sejauh mana kerjaya mereka berkembang dan diberi ruang untuk menjadi kreatif, mereka tetap hanya makan gaji serta perlu menurut aturan daripada pihak atasan. Untuk itu, Mohd Khaildhier Abd Halim, 31, dan rakan baiknya Abdul Muiz Ismail, 27, sanggup meletak jawatan sebagai jurutera dan eksekutif teknologi maklumat (IT) untuk mencuba nasib sebagai ahli perniagaan.
Menerusi Turbo Fix yang ditubuhkan hampir setahun lalu, dua anak muda berkenaan bebas merencana perjalanan kerjaya mereka inginkan dan lebih penting memperoleh kepuasan dicari. Iltizam mereka apabila menjadi peniaga, perlu lebih gigih, mempunyai kesabaran tinggi dan tidak melihat kegagalan sama ada kecil mahupun besar sebagai penghalang untuk mengecapi kejayaan.
Buktinya dalam tempoh itu, sudah tiga cawangan Turbo Fix dibangunkan iaitu cawangan pertama di Jalan Pintu Geng, Kota Bharu dan sekitar bandar sama, manakala sebuah lagi di Kuala Krai. Mohd Khaildhier berkata, tidak menyangka keputusan berhenti kerja merubah keseluruhan perjalanan hidup mereka malah Turbo Fix dikenali dengan cepat di seluruh Kelantan sebagai klinik gajet meyakinkan.
“Kami sangat mementingkan perkhidmatan terbaik dan pantas sejajar nama kedai iaitu turbo. Semua urusan pembaikan telefon pintar dan gajet di sini diusahakan untuk siap dalam tempoh sehari iaitu hantar pagi, siap petang.
“Berkat kesungguhan dan keyakinan pelanggan maka kami boleh membuka beberapa cawangan. Ditambah pula permintaan tinggi terhadap perkhidmatan pakar membaiki gajet dalam tempoh singkat dan pada harga berpatutan. Memang keputusan berhenti kerja tidak sia-sia kerana kami lebih puas mengemudi perniagaan sendiri,” katanya yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan.
Bercerita mengenai perkhidmatan ditawarkan, Mohd Khaildhier berkata, pelanggan yang mahu berurusan biasanya menghubungi mereka terlebih dahulu untuk membuat temujanji selain menceritakan kerosakan alat pintar mereka. Katanya, ada pelanggan terus ke kedai yang beroperasi bermula jam 10 pagi hingga 10 malam dan mereka dibantu lebih 10 kakitangan bersedia membantu.
Jelasnya, Turbo Fix turut mengamalkan konsep pemeriksaan gajet secara percuma dan rundingan masalah alat itu kepada pelanggan terlebih dahulu sebelum menawarkan pembaikan yang bersesuaian dengan bajet pelanggan.
“Tempoh pembaikan pula ditetapkan sepantas lima hingga 10 minit bergantung tahap kerosakan. Maksimum tempoh pembaikan pula adalah tiga hari. Selain Kelantan, kami juga cuba memenuhi permintaan pelanggan di luar negeri yang bersedia menghantar gajet rosak menerusi perkhidmatan pos,” katanya yang sangat mengutamakan kepercayaan diberi pelanggan dalam menjaga kualiti kerja.
Moto bisnes secara jujur sentiasa ditekankan dalam kalangan kakitangan demi memperoleh keuntungan dan rezeki yang lebih berkat. Di sebalik kecemerlangan Turbo Fix, kedua-duanya mengakui pernah gagal dalam mengurus bisnes produk kesihatan sebelum klinik gajet itu dibangunkan.
Kedua-duanya yang berasal daripada keluarga sederhana, mengalami kerugian teruk mencecah ratusan ribu ringgit hingga menyebabkan Abdul Muiz hampir mengalah untuk menjalankan perniagaan lagi.
“Namun disebabkan saya mempunyai kemahiran bidang pemasaran dalam talian, manakala Abdul Muiz pakar bidang teknikal, maka kami cuba nasib sekali lagi untuk buka Turbo Fix yang hanya diasaskan dengan modal RM1,000 sahaja.
“Itupun digunakan untuk membeli peralatan membaiki telefon dan kami hanya mulakan dengan membaiki telefon pintar, iPhone sebelum diperluaskan kepada jenama lain,” katanya yang menyimpan hasrat membuka cawangan di negeri lain.
Abdul Muiz pula berkata, mereka menggunakan medium laman sosial seperti Facebook (FB), Weechat dan Instagram untuk melakukan promosi. Katanya, tiada jalan pintas untuk mencapai kejayaan dalam bidang perniagaan, melainkan usahawan itu sendiri perlu bijak berfikir di luar kotak mengenai usaha perlu dilakukan bagi mengembangkan perniagaan mereka.
Dia juga berharap anak muda Malaysia tidak gentar untuk membawa perubahan dalam diri dan berani menyahut cabaran melakukan perkara diminati yang boleh menjadi nilai tambah kepada diri.
0 comments:
Post a Comment