Pengguna media sosial gempar susulan penyebaran maklumat mendakwa berlaku serangan militan Daish di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, susulan kejadian ‘letupan’ van. Dalam kejadian jam 8.30 pagi kelmarin, van itu yang diparkir di tepi jalan didakwa terbakar secara mendadak hingga mencetuskan panik orang ramai.
Malah ada pihak tidak bertanggungjawab sengaja menyebarkan mesej mendakwa ia serangan kedua Daish selepas letupan di sebuah pub di Puchong, 28 Jun lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah menafikan dakwaan viral kejadian itu yang dikaitkan dengan perbuatan militan. “Kejadian itu hanya kebakaran biasa van yang mengalami masalah enjin dan tiada kena-mengena dengan serang militan.
“Dakwaan serangan dan letupan seperti tersebar di media sosial itu tidak benar. Kebakaran berpunca akibat masalah komponen kenderaan,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai diminta tidak menyebarkan sebarang maklumat palsu yang boleh mengancam keselamatan negara.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.52 pagi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah ke lokasi.
Difahamkan, beberapa pekerja pembersihan Alam Flora cuba membantu memadamkan kebakaran sementara menunggu ketibaan pasukan bomba dan penyelamat. “Anggota bomba mengawal kebakaran 10 minit kemudian. Sebanyak 90 peratus van berkenaan musnah dijilat api,” katanya.
0 comments:
Post a Comment