Rangkaian produk penjagaan diri antibakteria halal, Antabax baru-baru ini meraikan kempen Power Malaysia menerusi pertandingan melukis grafiti secara langsung di Balai Seni Visual Negara (BSVN). Cabaran itu adalah kesinambungan daripada Pertandingan Grafiti Antabax POWER 2017 yang berlangsung selama sebulan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-60.
Bertemakan Power Malaysia, seramai 14 artis grafiti terbaik seluruh negara dicabar mentafsirkan semangat dinamik dan keunikan Malaysia untuk merebut hadiah wang tunai berjumlah RM20,000.
Pengurus Besar Kanan, Jabatan Isi Rumah dan Produk Penjagaan Diri Lam Soon Edible Oils Sdn Bhd (Lam Soon) Francis Ng berkata, pertandingan itu menerima ratusan penyertaan secara dalam talian sebelum disenarai pendek menjadi 14 peserta, simbolik kepada jumlah negeri di Malaysia.
“Peserta hanya diberi masa tiga jam 30 minit untuk menyiapkan hasil karya mereka menggunakan cat semburan di atas panel seluas 5.7 meter persegi.
“Markah dinilai Ketua Kurator BSVN, Majidi Amir; Kurator Kanan BSVN, Bakhtiar Naim Jaafar; Pengurus Kanan Jenama, Produk Isi Rumah dan Penjagaan Diri Lam Soon, Mandy Lee serta dua artis grafiti terkemuka tanah air, iaitu Bee dan Bone Alfie,” katanya.
Pada majlis penutup, Antabax mengumumkan Mohd Zulfadli Ahmad Nawawi sebagai pemenang tempat pertama yang menerima hadiah wang tunai RM7,500; diikuti Mohd Zaki Nordin (RM4,500) serta pasangan Siek dan Katun (RM2,500). Sementara 11 lagi peserta menerima penghargaan sagu hati, masing-masing RM500, hamper Antabax dan cat sembur bernilai RM200.
Melengkapkan acara, satu klinik melukis grafiti untuk kanak-kanak berusia antara lapan hingga 18 tahun turut dijalankan kru District Gallery. Ia bertujuan memberi inspirasi kepada generasi muda, sekali gus mendedahkan mereka mengenai cara mengendalikan tin cat dengan betul, teknik asas, prosedur keselamatan dan aspek kebersihan.
Menyentuh pemilihan aktiviti sedemikian untuk kempen, Francis berkata, Antabax bukan sekadar jenama produk penjagaan diri Malaysia yang terkenal dengan perlindungan antibakteria selama 24 jam. Malah, ia komited mengetengahkan seni, budaya dan aktiviti warisan Malaysia menerusi pelbagai kempen.
“Sebagai jenama paling pantas berkembang dalam kategori produk penjagaan diri antibakteria, kami mahu mempromosikan gaya hidup aktif, sihat dan merapatkan hubungan dalam sesebuah komuniti. Selain pertandingan grafiti, kami juga bawakan banyak pilihan permainan zaman sekolah untuk memelihara warisan lama dan memperkenalkan pula keunikannya kepada generasi muda.
“Kami faham bahawa permainan rakyat Malaysia seperti oh som, lat tali lat, batu seremban, chap teh, ceper, lompat getah dan teng-teng adalah permainan dari zaman kanak-kanak yang mampu menggamit memori.
“Justeru, dengan memperkenalkan semula permainan ini, kami percaya sedikit sebanyak ia mampu memisahkan kanak-kanak dan remaja daripada peranti mudah alih serta mengeratkan lagi hubungan dalam kalangan ahli keluarga demi gaya hidup lebih sihat, aktif,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Besar BSVN, Prof Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa berkata, acara yang disusun cukup selari dengan objektif BSVN untuk menjadikan seni, budaya dan warisan sebagai satu bahagian penting dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia.
“Kita harus mendidik rakyat supaya menghargai dan mencintai seni dari muda. Kami dapati bahawa kerjasama di antara kerajaan dan swasta seperti Antabax dapat membantu meningkatkan kesedaran serta mencetuskan minat terhadap seni grafiti serta permainan zaman kita kecil dahulu.
“BSVN berbesar hati apabila Antabax mencadangkan untuk bekerjasama menganjurkan Pertandingan Grafiti Antabax 2017. Inisiatif sebegini dilihat boleh menjadi platform penting untuk artis grafiti tanah air meneroka peluang menjadi usahawan sekali gus menjana pendapatan lebih stabil.” katanya.
0 comments:
Post a Comment