My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 2 November 2017

    Malaysia Mampu Kalahkan Jepun



    JIKA meneruskan persembahan cemerlang seperti dipamerkan dalam tiga perlawanan Kumpulan A, skuad hoki wanita negara dijangka mampu melangkah ke pentas separuh akhir Piala Asia 2017 di Kakamigahara, Jepun. 

    Ketua jurulatih Malaysian Tigress, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah percaya anak-anak buahnya berpeluang menewaskan pasukan ranking ke-11 dunia, Jepun menjelang pertembungan suku akhir di Stadium Green Kawasaki hari ini.

    Menurut Dhaarma, 48, Jepun dilihat membariskan skuad lebih lemah berbanding pasukan yang tewas 0-2 kepada skuad negara hasil jaringan Siti Noor Amarina Ruhani dan Nuraini Abdul Rashid pada Trofi Juara-Juara Asia 2016 di Singapura.

    “Jepun yang kami kalahkan di Singapura dulu lebih kuat berbanding pasukan ini. Saya percaya kami boleh menyaingi mereka tetapi saya tidak dapat menafikan bahawa kedua-dua pasukan mempunyai peluang seimbang untuk menang.

    “Saya melihat China dan India lebih kuat daripada Jepun. Malah, kami memperoleh banyak pukulan sudut penalti dan peluang menjaringkan gol sewaktu seri 2-2 dengan Jepun pada aksi persahabatan di sini baru-baru ini.

    “Cuma kami perlu berwaspada dengan corak serangan Jepun menerusi pukulan sudut penalti. Pada masa sama, kami perlu memaksa pertahanan Jepun melakukan kesilapan dan memanfaatkan setiap peluang menjaringkan gol,” katanya.

    Begitupun, Malaysian Tigress, No. 22 dunia, tetap dilihat berdepan tugas sukar menewaskan Jepun kerana naib juara Kumpulan B itu merupakan salah satu daripada empat gergasi hoki wanita Asia. Sehubungan itu, Dhaarma menggesa barisan serangannya meneruskan kecemerlangan dengan mendapatkan banyak pukulan sudut penalti ke atas lawan tersebut.

    “Walaupun penyerang tidak berjaya menjaringkan gol padang tetapi mereka masih boleh mendapatkan pukulan sudut penalti. Bagi saya, ia sudah memadai dengan peranan dan tugasan mereka.

    “Kami berjaya meraih empat pukulan sudut penalti ke atas China, 15 dengan Singapura dan lima terhadap India. Jadi, saya harap mereka meneruskan momentum ini dan kalau boleh cuba menjaringkan gol,” jelasnya.

    Sebagai rekod, Malaysian Tigress mara ke suku akhir sebagai pasukan tempat ketiga Kumpulan A berdasarkan kemenangan 8-0 ke atas Singapura (No. 40 dunia) dan dua kekalahan, 4-5 kepada China (No. 8) serta 0-2 terhadap India (No. 12).
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Malaysia Mampu Kalahkan Jepun Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top