Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) optimis mencapai jualan 6,000 unit kenderaan sebulan susulan tempahan model Myvi Serba Baru yang mula dibuka, semalam (hari ini). Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Dr Aminar Rashid Salleh berkata, angka itu boleh dicapai dalam tiga bulan pertama selepas pelancarannya yang dirancang dalam waktu terdekat.
“Myvi Serba Baru ini adalah model pertama yang dibangunkan sepenuhnya jurutera tempatan selain dipantau rakan teknologi kami iaitu Daihatsu. Model ini sangat dekat di hati rakyat sehingga berjaya mencatatkan jualan sejuta unit dalam tempoh 12 tahun,” katanya pada majlis pengumuman khas media di Perodua Sentral, semalam.
Hadir sama Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd Datuk Dr Zahari Husin dan Naib Presiden Perodua Auto Corporation Sdn Bhd (PCSB) Datuk Zainal Abidin Ahmad. Dr Aminar Rashid berkata, serentak pengumuman tempahan itu, pihaknya turut memperkenalkan logo baru Myvi bagi menggantikan logo lama yang digunakan sejak 2011.
“Ini logo ketiga diperkenalkan sejak model ini dilancarkan pada 2005 bertujuan membezakan generasi baru Myvi dengan model sebelumnya. Reka bentuk logo baru ini lebih menarik, sesuai dengan generasi muda yang juga pembeli terbesar Myvi,” katanya.
Menurut Dr Aminar Rashid, pihaknya memutuskan untuk mengekalkan nama Myvi kerana sinonim dengan masyarakat tempatan. “Jika dibandingkan dengan jenama lain di peringkat global, pencapaian ini (sejuta pengeluaran) mungkin tidak mengagumkan, tetapi untuk Perodua ia sesuatu yang sangat membanggakan,” katanya.
Terdahulu, Perodua Myvi Serba Baru ditawarkan dalam varian 1.3G Standard (MT) berharga RM44,300, 1.3G Standard (AT) berharga RM46,300, 1.3X Premium (AT) berharga RM48,300, 1.5 High (AT) berharga RM51,800 dan 1.5 Advance (AT) berharga RM55,300.
Model popular ini termasuk dua varian 1.5L dipadankan dengan enjin baru dipasang di kilang pemasangan enjin Daihatsu-Perodua di Sendayan, Negeri Sembilan. Kedua-dua varian ini dijana enjin empat silinder DOHC Dual VVT-i dengan transmisi empat kelajuan automatik atau lima kelajuan manual (1.3G Standard saja).
Menariknya, semua varian ditawarkan dengan ciri standard seperti lampu hadapan LED dengan fungsi Auto-Off dan Follow-me-home, akses pintar dengan butang mula/henti enjin, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Cengkaman (TRC) dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS).
Varian 1.3L didatangkan dengan empat beg udara manakala tambahan dua beg udara sisi tingkap untuk varian 1.5L. Enam warna ditawarkan iaitu Kelabu Granite, Hijau Peppermint, Merah Lava, Ungu Mystical, Perak Glittering dan Putih Ivory.
0 comments:
Post a Comment