My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 9 November 2017

    Belai Tubuh Di Spa Tengah Ibu Kota


    Sesekali meluangkan masa membelai tubuh di spa urutan dan kecantikan memang mengujakan. Apatah lagi selepas berhari-hari dihambat keletihan menguruskan tugas di pejabat dan tanggungjawab di rumah. Lebih menarik apabila pakej dan perkhidmatan yang ditawarkan berbaloi untuk dicuba. 

    Suasana spa pula cukup mendamaikan, walaupun terletak di tengah ibu kota Kuala Lumpur. Realitinya, tidak banyak pusat rawatan kecantikan di sekitar bandar raya yang mampu menyelitkan pemandangan dan suasana indah dalam pakej perkhidmatan mereka sebagaimana Teratak Spa Menara MARA.

    Segalanya cukup sempurna. Dekorasi mewah, bauan segar aromaterapi, alunan muzik tradisional Malaysia, pemandangan menghadap dua mercu kebanggaan negara. Sesiapa pun yang datang pasti terpesona. Jauh berbeza dengan suasana tingkat bawah Menara MARA yang hingar dengan bunyi bising dan hiruk-pikuk pengunjung sepanjang hari.

    Kedudukan Teratak Spa di tingkat empat ini tenang dan terasing. Setiap pelanggan yang datang ke sini diberi layanan istimewa bak tetamu bertandang ke rumah. Adat tradisi Melayu lama sengaja dihidupkan kembali untuk pengalaman lebih unik dan menyenangkan.

    Sambil bersantai di ruang menunggu, tetamu dihidangkan secangkir bancuhan air asam jawa dan tuala dingin beraroma untuk menyegarkan wajah yang mungkin berpeluh selepas berjalan jauh. Layanan mesra kakitangan spa juga dalam kelas tersendiri. Mereka bukan sekadar menyambut tetamu dengan senyuman, malah tidak lokek memberi khidmat nasihat secara percuma.

    Menurut pemiliknya, Selinastein Mohd Rashid, Teratak Spa Menara MARA bermula dengan premis kecil berkeluasan sekitar 24 meter persegi sebelum berkembang tiga kali ganda di lokasi lebih strategik, kira-kira setahun kemudian.

    “Dulu, cuma ada rawatan kecantikan wajah dan urutan saja. Tapi kini pelbagai pakej lengkap ditawarkan termasuk mandi bunga, tangas, lulur, skrub dan sebagainya,” katanya.

    Meneliti setiap sudut dan kelebihan spa ringkas gaya mewah ini, jelas terlihat keunikan yang cuba ditonjolkan menerusi konsep Nusantara. Sekalipun berada di tengah kota, spa ini membawa suasana kampung yang damai dengan pemilihan perabot kayu jati, dinding mengkuang, tirai dan kaca tingkap tradisi zaman dulu serta perkakasan buatan tangan.

    “Kami juga bawakan lima elemen budaya negara ini iaitu bau aroma terapi serai, bunyi muzik urutan Malaysia, rasa unik minuman asam jawa, sentuhan urutan dan rawatan semula jadi serta pemandangan indah bandar raya Kuala Lumpur,” katanya.

    Di spa ini, enam pakej kombinasi rawatan boleh dipilih mengikut kesesuaian serta kehendak pelanggan. Antaranya pakej Si Pinang Muda, Sri Kandi, Nona Manis, Mak Inang, Dandan Puteri dan Ulik Mayang. “Semua pakej mempunyai keistimewaan tersendiri. Bagi yang mahu menyegarkan tubuh selepas bersalin dan berpantang, Sri Kandi menawarkan tungku herba.

    “Manakala bakal pengantin pula sesuai memilih pakej Dandan Puteri kerana diselitkan mandi bunga tradisional dengan 100 kuntum ros kampung. Jenis ros ini lebih harum dan baunya kekal lama pada tubuh, sekali gus menaikkan aura raja sehari.

    “Begitupun, bagi yang mempunyai peruntukan lebih, kami cadangkan supaya mengambil pakej pengantin lengkap. Ia sepatutnya bermula tiga bulan sebelum majlis pernikahan dengan pakej Si Pinang Muda, diikuti Mak Inang dan akhirnya Dandan Puteri,” katanya.

    Menjelas lanjut mengenai pakej Si Pinang Muda, Selina berkata, ia merangkumi rawatan skrub untuk membersihkan kotoran dan menanggalkan sel kulit mati. Mak Inang pula menyediakan ukup wangi dan bertangas basah untuk membantu mensejahterakan bahagian dalaman serta mengharumkan peluh.

    Lima juruterapi di spa adalah anak tempatan terlatih yang mempunyai kepakaran dalam bidang urutan serta rawatan wajah. Spa pakej premium berkenaan menyediakan tiga bilik rawatan lengkap dan tiga kerusi rehat untuk urutan kaki dengan pemandangan menarik.

    “Kami komited membawakan kelengkapan, perkhidmatan dan layanan premium di samping keunikan budaya Melayu yang dikenali sopan serta berlemah-lembut dalam pelbagai sudut,” katanya yang turut menyediakan bunga rampai sebagai buah tangan untuk setiap pelanggan.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Belai Tubuh Di Spa Tengah Ibu Kota Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top