Honda Malaysia Sdn Bhd (HMSB) yakin pengenalan varian terbaru Accord dengan teknologi keselamatan Honda Sensing mengekalkan penguasaannya dalam pasaran kenderaan segmen D.
Naib Presiden Kumpulan HMSB Akkbar Danial berkata, apabila generasi kesembilan Accord dilancarkan pada 2013, ia menjadi penanda aras baru dalam segmen D sebagai model yang menawarkan ciri premium termasuk pengenalan kamera LaneWatch.
“Accord Baru yang diperkenalkan pada 2016 ditawarkan dengan ciri nilai tambah dan piawaian keselamatan terbaik mengukuhkan jualan HMSB. Berdasarkan situasi semasa, Accord turut berdepan persaingan daripada model premium jenama lain, tetapi ditawarkan pada harga lebih kompetitif,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka HMSB di BoraOmbak Marina, Putrajaya, semalam.
Hadir sama Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif HMSB Toichi Ishiyama dan Presiden yang juga Ketua Pegawai Operasi HMSB Roslan Abdullah. Menurut Akkbar, jualan Accord baru sangat menggalakkan dengan lebih 5,500 unit dijual sejak dilancarkan September tahun lalu.
“Varian 2.4 VTi-L menyumbang 25 peratus jualan manakala 2.0 VTi-L paling besar iaitu 61 peratus sementara baki 14 peratus lagi daripada varian 2.0 VTi. “Bermula bulan ini, hanya dua varian Accord ditawarkan iaitu Accord 2.0 VTi-L pada harga bermula RM149,350 (tanpa insurans) dan Accord 2.4 VTi-L Advance dengan Honda SENSING berharga RM169,800,” katanya.
Akkbar berkata, HMSB mencatatkan prestasi jualan yang mengagumkan tahun ini dengan lebih 87,800 unit dijual bermula Januari hingga Oktober lalu. “Varian Hybrid Sport mencatatkan lebih 1,860 unit tempahan dalam tempoh lima bulan, melebihi sasaran 24 peratus sementara jualan varian Turbocharged menyumbang 60 peratus untuk model Civic dan 71 peratus model CR-V.
“Dengan prestasi jualan kukuh setakat ini, kami yakin mencapai sasaran 100,000 unit menjelang akhir tahun ini,” katanya.
Sementara itu, Honda Accord 2.4 VTi-L Advance dengan Honda SENSING didatangkan bersama Adaptive Cruise Control (ACC), Foward Collision Warning (FCW), Collision Mitigation Braking System (CMBS), Lane Keep Assist System (LKAS), Road Departure Mitigation (RDM) dan Lane Departure Warning (LDW).
Ciri asas premium ialah lampu LED hadapan dan belakang, paparan audio pelbagai fungsi tujuh inci bersama i-MID dan Honda LaneWatch.
0 comments:
Post a Comment